Berita

Hutan Simpan Segari Melintang diancam pembalakan, aktiviti kuari

MANJUNG, 3 OGOS: Pembalakan yang diluluskan Kerajaan UMNO Negeri Perak dalam Hutan Simpan (HS) Segari Melintang seluas 80 hektar bukan sahaja untuk tujuan itu tetapi juga telah dizonkan sebagai Zon Kuari.

Menurut Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak, penduduk mendakwa pihak berkenaan juga tidak pernah melakukan kajian impak sosial meskipun kawasan tersebut tidak jauh dari kawasan penempatan.

Sehubungan itu, pihaknya telah pun mengemukakan bantahan melalui penyertaan awam Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 (RTD Manjung 2030) berhubung pengezonan kawasan kuari di hutan simpan tersebut katanya ketika dihubungi Roketkini.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak

Meor berkata, selain penebangan hutan secara tebang habis, kelulusan kuari di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70.

“MTN telah menyarankan semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam HSK.

“Ini kerana kegiatan perlombongan dan kuari dalam HSK secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara,” katanya.

Beliau yang juga jurucakap kepada gabungan Rakan Segari berkata melalui tinjauan 30 Julai lalu, pembalakan di kawasan itu telah menjejaskan beberapa kawasan air terjun Tanjung Batu yang menjadi tumpuan penduduk dan berpotensi dijadikan kawasan eko-pelancongan.

“Wakil penduduk dan gabungan Rakan Segari tidak bersetuju dan membantah kegiatan pembalakan di sebahagian Kompartmen HS Segari Melintang seluas kira-kira 80 hektar berhampiran Kampung Sungai Batu, Pantai Remis kerana pertamanya kami mendapati kegiatan itu telah menjejaskan kawasan air terjun Tanjung Batu.

“Ranting-ranting pokok dan sisa-sisa kayu daripada kegiatan pembalakan tersebut ditinggalkan di kawasan simpanan sungai dan zon penampan.

“Sekiranya hari hujan boleh menyebabkan gangguan kepada aliran air,” katanya.

Gabungan Rakan Segari merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil penduduk dan pihak berkepentingan di kawasan tersebut.

Isu pemusnahan dan eksploitasi Hutan Simpan Segari Melintang kata Meor juga merupakan salah satu daripada 13 isu meruncing yang berlaku di Segari.

Perkara itu, telahpun dibangkitkan di media sempena program sambutan Hari Bumi Rakan Segari April lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing dalam kenyataan pada 1 Ogos baru-baru ini menggesa kerajaan negeri memberi jawapan telus mengenai jumlah pendapatan yang diperoleh menerusi kegiatan pembalakan di kawasan hutan simpan kekal negeri itu

“Sidang Dewan Undangan Negeri akan diadakan pada 8 Ogos dan saya telah mengemukakan soalan-soalan mengenai hutan simpanan kekal.

“Soalan-soalan saya termasuk bilangan lesen yang diluluskan, jumlah pendapatan yang kerajaan negeri perolehi dan bilangan kes pembalakan haram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas melihat kemusnahan dan ancaman kesan pembalakan yang diluluskan di Hutan Bukit Pantai kawasan HSK berkenaan. -Roketkini.com

Berikut pautan mengenai isu alam sekitar di Segari yang terbit di Roketkini:

Zambry Kadir dahulukan industri, gadai nasib penyu Segari

Pembalakan berleluasa di hutan Bukit Pantai Segari, kerajaan Perak jangan membisu

Gabungan NGO desak kerajaan Perak selesai 13 isu kerosakan alam sekitar di Segari