Berita

Apa Rosmah buat di London tanpa menteri pengiring?

PETALING JAYA, 7 OGOS: Pengakuan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau dan rombongan PERMATA ke London bulan Mei lalu bukan untuk ‘berjalan-jalan’ mendapat reaksi sinis wakil rakyat DAP.

Menurut ADUN Kampung Tunku Lau Weng San, walaupun Rosmah ke London pada 4 hingga 10 Mei, apa yang menimbulkan keraguan ialah aktiviti yang dilakukan Rosmah pada 4 hingga 7 Mei.

Ini kerana dua orang menteri pengiring iaitu Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rohani Abdul Karim, disahkan tidak bersama dengannya pada 4 hingga 7 Mei 2017.

ADUN Kg Tunku, Lau Weng San

“Soalan keramat sekarang ialah, apakah program dan itineri perjalanan Datin Seri Rosmah Mansor antara 4 hingga 7 Mei,” soalnya.

Weng Sang berkata demikian mengulas laporan media berhubung kenyataan Rosmah dalam  program Bual Santai: Kenali Anak Pintar Anda di Pusat PERMATA Pintar Negara, Uninersiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.

“Saya kira rakyat Malaysia tidak membantah sekiranya lawatan isteri Perdana Menteri ke London atas wang kerajaan adalah atas urusan rasmi yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Tetapi sekiranya terdapat lawatan tidak berkaitan dengan tugas rasmi tersebut, maka sebaik-baiknya ianya ditanggung oleh isteri Perdana Menteri sendiri,” kata Weng San.

Beliau juga mengulas jawapan bertulis Parlimen yang diberi kepada Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching pada 25 Julai lalu mengenai kos dan itineri perjalanan isteri Perdana Menteri itu yang disifatkannya tidak menjawab soalan sebenar.

“Berapa banyak wang rakyat yang telah dibelanja untuk membiayai perjalaanan isteri Perdana Menteri, khususnya dalam tempoh empat hari pertama lawatannya beliau ke London?” soalnya.

Terlebih dahulu, carian di internet ujarnya hanya melaporkan kenyataan Kementerian Luar Negara secara umum mengenai program PERMATA pada 4 hingga 10 Mei.

Carian di internet antara 4 hingga 10 Mei katanya hanya memberi satu atau dua hasil carian daripada portal Bernama, sementara itu, laman web The Royal Society of London manakala carian di beberapa akhbar dan media UK tidak memberi apa-apa hasil carian.

“Maka saya telah membuat carian di laman Facebook untuk kedua-dua menteri (Azalina dan Rohani) berkenaan dan mendapati gambar aktiviti untuk ketiga-tiga program di atas hanya dimuatnaik dalam Facebook antara 7 hingga 10 Mei,” jelasnya.

Malah melalui carian di Facebook, Datuk Rohani pada 6 Mei dipercayai masih belum bertolak ke London kerana menghadiri program di Malaysia manakala Azalina pula berada di India untuk lawatan tentang jenayah seks kanak-kanak sekitar 4 hingga 6 Mei.

Justeru beliau menggesa supaya Pejabat Perdana Menteri memberi penjelasan tentang kos dan itinery perjalanan isteri Perdana Menteri pada tarikh yang disebutkan itu. – Roketkini.com