Rencana

BN sebenarnya tiada perancangan untuk penduduk pedalaman Sarawak

Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan 43 tahun semenjak tahun 1974 tidak mempunyi pelan pembangunan bagi kawasan-kawasan yang dikuasai oleh mereka terutamanya kawasan di pedalaman Sarawak. Masalah pembangunan ini termasuklah dari segi infrasturktur dan ekonomi.

Sudah 54 tahun penubuhan Malaysia pada tahun 1963, kerajaan BN masih gagal menyediakan keperluan asas seperti jalanraya, bekalan elektrik dan air bersih, kelengkapan sekolah, dan sistem perparitan yang sempurna.

Pertama, antara masalah pembangunan dari segi infrastruktur yang di hadapi oleh penduduk di pedalaman Sarawak adalah sistem perparitan yang tidak terurus, jalanraya tidak berturap, ketiadaan jambatan merentasi sungai-sungai, ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih, serta bangunan sekolah, klinik desa dan balai polis yang daif dan using.

Hakikatnya, penduduk di pedalaman Sarawak masih melalui jalan tanah kuning, menggunakan sampan panjang untuk merentasi sungai, menggunakan generator elektrik untuk menghasilkan bekalan elektrik, menakung air menggunakan tempayan dan bersekolah berbumbungkan daun nipah, berlantaikan kayu dan berdindingkan asbestos.

Kedua, antara masalah pembangunan dari segi ekonomi pula adalah peningkatan kadar pengangguran, peningkatan migrasi dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar, kenaikkan kos sara hidup, kejatuhan harga komoditi, penarikan subsidi baja, pencerobohan tanah adat (NCR) dan pembalakan haram yang berleluasa.

Akibatnya, penduduk di pedalaman Sarawak berhadapan dengan masalah seperti gejala sosial, pengecilan jumlah golongan belia, membuat pinjaman peribadi kepada Ah Long dan menggadaikan tanah pusaka nenek moyang mereka untuk menampung kos sara hidup, bekerja sebagai buruh kasar, tiada simpanan wang, pengurangan hasil pengeluaran petanian seperti kelapa sawit, lada, padi dan getah, terpaksa menggadaikan nyawa untuk mempertahankan tanah adat NCR mereka dan hilang sumber rezeki di hutan akibat aktiviti pembalakkan haram.

Penubuhan agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Kemajuan Koridor Wilayah (RECODA), Lembaga Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Pembangunan dan Pelindungan Tanah (LCDA) tidak banyak membantu dalam membangunkan kawasan pedalaman di Sarawak. Malah, projek pembangunan wilayah seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sehingga kini masih gagal mencapai sasaran untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di pedalaman Sarawak.

Kehidupan penduduk pedalaman di bawah BN ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Masih berada dalam keadaan mundur dan di takuk lama. Malah, terdapat beberapa kawasan masih tidak berubah seperti 50 tahun yang lalu. Ke mana pergi segala peruntukkan kepada kerajaan negeri Sarawak? Adakah ianya digunakan untuk kepentingan dua tiga kerat orang dalam BN Sarawak?

Walaupun Sarawak kaya dengan hasil bumi seperti minyak petroleum, gas asli, arang batu, emas serta bijih timah, namun, kekayaan tersebut gagal diagihkan oleh kerajaan BN selama 43 tahun yang lalu. Jika kerajaan BN benar-benar mempunyai pelan tindakan strategik, nescaya, penduduk pedalaman sudah lama menikmati hasil pembangunan seperti penduduk di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Akan tetapi, kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh penduduk pendalaman di Sarawak kepada BN semenjak 43 tahun ternyata mengecewakan.

Kerajaan BN mengambil kesempatan ke atas sokongan yang diberikan oleh penduduk pedalaman Sarawak. Mereka sebaliknya mengaut keuntungan dengan membolot segala jenis projek berbentuk pembangunan dan menyalahgunakan peruntukkan yang disediakan untuk memperkayakan kroni-kroni dan keluarga mereka. Akibat daripada amalan kronisme, nepotisme dan rasuah serta salahguna kuasa, maka penduduk pedalaman menjadi mangsa kerakusan dan ketamakan pemimpin-pemimpin BN Sarawak.

Kegagalan selama 43 tahun BN Sarawak dalam membangunkan kawasan pedalaman di Sarawak, menyediakan pelan tindakan yang strategik dan membanteras amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang semakin berleluasa, maka sudah tiba masanya rakyat Sarawak terutamanya penduduk di pedalaman untuk bersama-sama dengan rakyat Malaysia dalam melakukan perubahan dengan memilih kerajaan baharu yang akan diterajui oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 nanti. Penduduk di pedalaman harus berani menegakkan dan menuntut hak mereka. Sesungguhnya, nasib penduduk di pedalaman Sarawak tidak akan berubah selagi mana mereka tidak mengubah nasib mereka sendiri. – Roketkini.com

*Abdul Aziz Isa merupakan Pembantu Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching