Berita

Keputusan mahkamah tepat, beban bukti tanggungjawab pihak pendakwa – Gobind

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada permohonan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat dialu-alukan.

Keputusan tersebut yang membatalkan peruntukan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah langkah yang tepat, kata peguam Gobind Singh Deo.

“Dalam setiap perbicaraan, kedua-dua pihak mesti mendapat layanan yang adil.

“Jika ada undang-undang yang memberi lebih beban kepada salah satu pihak, dan tidak yang lain, maka boleh dihujahkan bahawa undang-undang itu adalah tidak berpelembagaan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong ketika ditemui Roketkini.

Menurutnya, peruntukan Seksyen 62 Akta SPRM itu mencabul jaminan kesetaraan dan jaminan menghalang diskriminasi seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini sebabnya kenapa keputusan mahkamah rayuan hari ini sangat signifikan. Ini bermakna sekiranya ada undang-undang yang memberi kelebihan kepada pihak pendakwaan terhadap pihak tertuduh, maka undang-undang itu adalah tidak berpelembagaan,“ jelasnya.

Seksyen 62 Akta itu mengkehendaki pihak tertuduh membekalkan dokumen yang akan digunakan dalam pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula, justeru mendedahkan inti pati pembelaan dan memberi kelebihan kepada pihak pendakwa.

Menurut Gobind, dalam mana-mana perbicaraan jenayah, pihak pendakwa mesti memulakan dengan mengemukakan saksi-saksi dan keterangan, kemudian barulah mahkamah memutuskan jika ada kes prima facie untuk dijawab dengan pembelaan dari pihak tertuduh.

“Setelah itu barulah pihak pembelaan diminta membawa saksi-saksi pembela dan memberi dokumen serta keterangannya.

“Peruntukan Seksyen 62 Akta SPRM ini upama langkah bendul, dengan mengkehendaki pihak tertuduh mengemukakan keterangan dan dokumen pembelaan sebelum perbicaraan bermula. Ini tidak betul,” tegas Ketua Biro Undang-undang DAP itu lagi.

Ditanya tentang kesan keputusan tersebut terhadap pendakwaan yang dihadapi Setiausaha Agung DAP tersebut, Gobind berkata ia bukan soal Lim Guan Eng sahaja, bahkan semua kes yang dikendalikan di bawah Akta SPRM.

“Apa yang hendak dibela hanya boleh ditentukan setelah mendengar bukti-bukti dan keterangan pihak pendakwa.

“Inilah sebabnya kita katakan Seksyen 62 itu tidak berpelembagaan, dan keputusan Mahkamah Rayuan adalah langkah yang betul. Beban pembuktian adalah terletak di bahu pihak pendakwaan. Hanyalah apabila bukti-bukti ini dikemukakan dan ada kes prima facie, barulah pihak tertuduh perlu mengemukakan pembelaan.”

Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Yang Arif Datuk Umi Kalthum Abd Majid memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 62 Akta SPRM sebagai tidak berpelembagaan.

Keputusan tersebut justeru mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang supaya Guan Eng memfailkan pernyataan pembelaannya dalam kes pendakwaan rasuah pembelian rumah keluarganya, sebelum bicara bermula. – Roketkini.com