Berita

Pengkarya filem perlu jujur garap babak sejarah, tahu beza fiksyen dan fakta

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kebebasan berkarya tidak bermakna karyawan bebas membina persepsi buruk terhadap mana-mana pihak tambahan lagi melibatkan filem berunsur sejarah, kata Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas salah satu babak dalam filem Malay Regiment arahan Datuk Jurey Latiff yang memaparkan kereta dengan nombor pendaftaran ‘DAP165’ seolah-olah menyamai perkataan ‘dapigs’.

Filem Malay Regiment diinspirasikan daripada kisah benar tentang serangan pengganas komunis sehingga menyebabkan 11 anggota tentera negara ini terkorban dalam insiden tahun 1976.

Menurut Mahdzir, filem adalah medium sosial yang akan membentuk persepsi tentang naratif yang digarap oleh pengarah filem.

“Naratif, simbol dan apa-apa ungkapan-ungkapan dalam apa jua filem perlu ada gambaran yang jelas tentang kisah dalam filem itu apatah lagi sesebuah filem yang punya kaitan dengan latar sejarah,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak terlebih dahulu mencadangkan supaya babak yang disifatkan menghina DAP itu dipotong daripada filem berkenaan yang dijangka menemui penonton di pawagam 31 Ogos ini.

Walaupun tindakan Salleh itu disifatkan positif, bagi Mahdzir, karyawan sendiri perlu tahu membezakan sebarang ‘fiksyen’ dengan fakta.

“Ia tindakan wajar. Sepatutnya tak perlu pun menteri campur tangan dalam hal suntigan ini. Karyawan sendiri (perlu) tahu bezakan fiksyen (tokok tambah) dengan fakta.

“Saya ingin lihat bagaimana karyawan filem mampu merakam babak-babak sejarah politik hari ini dengan jujur,” katanya lagi.

Sebelum ini, filem berunsur sejarah Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba juga pernah mencetuskan kontroversi apabila cuba memberi gambaran salah terhadap fakta sebenar insiden berdarah 13 Mei 1969.

Filem tersebut telah ditayangkan dua hari sebelum sambutan Merdeka ke-56 dan kira-kira tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Dalam promosi filem berkenaan di halaman facebook rasminya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang difitnah apabila ia menayangkan sebuah foto dengan kapsyen “Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Harun Idris”. – Roketkini.com