Berita

Selepas Tanda Putera, kini ‘Malay Regiment’ dan ‘DAP165’ pula?

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Filem yang dibiayai dana rakyat tidak wajar disalah guna sebagai alat politik menyemai kebencian, tegas Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian mengulas kontroversi filem Malay Regiment dalam sidang medianya sebentar tadi.

Menurutnya, lesen kreatif tidak memberi sebarang justifikasi untuk menanam benih-benih perkauman dan prejudis antara satu sama lain.

“Kita tidak memerlukan sesiapa pun mengganggu-gugat dan memesongkan rakyat dari melihat jurang yang jelas antara mengekalkan ‘kerajaan kleptokrasi’ yang terpalit dengan skandal puluhan bilion dolar atau memilih sebuah muafakat demokratik untuk memperbaharui dan menyelamatkan negara,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Filem Malay Regiment arahan Datuk Jurey Latiff diinspirasikan daripada kisah benar serangan pengganas komunis sehingga menyebabkan 11 anggota tentera negara ini terkorban pada tahun 1976.

Bagaimanapun, filem tersebut cuba menyemai prejudis secara halus dengan memasukkan babak kereta dengan nombor pendaftaran ‘DAP165’ menyerupai kata ‘DAPIGS’ yang sering digunakan untuk menghina DAP.

Babak tersebut turut memaparkan seorang lelaki berdiri di sebelah kereta itu sambil memegang sebuah buku satira oleh André de Guillaume bertajuk “How to Rule the World: A Handbook for the Aspiring Dictator” dengan latar suara berbahasa Cina bermaksud, “Kita tidak perlukan perang. Kita hanya perlu menggunakan otak untuk menguasai ekonomi.

Bagaimana pun, menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak telah mengarahkan babak kontroversi supaya dikeluarkan.

“Saya alu-alukan tindakan Salleh. Filem patriotik yang dibiayai dana negara tidak wajar disalah guna sebagai alat politik menyemai kebencian terhadap perjuangan suci demi kebaikan negara,” tambah beliau.

Menurut Kit Siang lagi, kehadiran filem seperti itu tidak ubah seperti filem Tanda Putera pada tahun 2013 yang cuba mencipta fakta palsu menggambarkan dirinya dan DAP kononnya sebagai dalang penyebab tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

“Lima tahun selepas Tanda Putera berlalu, usaha untuk terus memburukkan DAP sebagai pencetus ketegangan kaum sejak 1969 masih diteruskan dan momok baharu ini telahpun kita temui dalam filem Malay Regiment’,” katanya.

Sebaliknya kata Kit Siang, filem Ola Bola misalnya boleh menjadi contoh terbaik menjelang sambutan kemerdekaan Ogos ini tanpa menggunakan tema peperangan dan darah sebagai usaha memupuk semangat patriotism dalam kalangan rakyat.

Malah, jika perang merupakan tema pasaran sekalipun, pengkarya boleh mengambil pedoman dari filem P.Ramlee, Sarjan Hassan ujarnya.

“Dalam filem itu kecintaan terhadap negara disemai dengan kata-kata indah sebagaimana yang diungkapkan seperti, Memang bangsa kita masih muda dan masih lemah. Harapanku hanyalah, kita sama sebangsa, bersatu padulah hendaknya,” kata beliau. – Roketkini.com