Berita

Apandi Ali sepatutnya sokong petisyen HARAPAN terhadap lantikan Ketua Hakim

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali disaran menyokong petisyen pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk merujuk keputusan kerajaan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Apandi disaran berbuat demikian dan menasihatkan Perdana Menteri agar menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya merujuk hal tersebut kepada Mahkamah Persekutuan yang didapati bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan.

Membuat gesaan itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pelanjutan tempoh khidmat kedua-dua hakim tersebut, Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin adalah bertentangan Perlembagaan dan Agong boleh merujuk isu terbabit kepada Mahkamah Persekutuan untuk dibuat semakan.

Peruntukan tersebut katanya termaktub dalam Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

“Kesan buruknya termasuk menghalang peluang dan prospek sekurang-kurangnya lapan hakim Mahkamah Persekutuan, tiga daripadanya wanita. Lebih penting lagi, ia menafikan peluang Tan Sri Richard Malanjum sebagai Hakim Besar Sabah Sarawak yang pertama untuk dilantik sebagai Ketua Hakim Negara,” jelas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Menurut beliau lagi, wujud terlalu banyak pendapat undang-undang yang menentang putar belit terhadap Perlembagaan bagi menghalalkan pelantikan yang bertentangan dengan undang-undang itu.

“Ini termasuklah dari bekas Ketua Hakim Negara, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, bekas Peguam Negara, bekas menteri undang-undang, serta Majlis Peguam yang mengadakan mesyuarat tergempar mengenai perkara itu Khamis lalu,” tambah Kit Siang.

Apandi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa pelantikan semula kedua-dua hakim tersebut adalah bertepatan dengan Perlembagaan tanpa menghadirkan sebarang hujah baru bagi menjustifikasi keputusan terbabit.

“Apandi boleh menjerit dari atas bumbung seribu kali pun mendakwa pelantikan tersebut adalah sah dari segi Perlembagaan.

“Tetapi ia tidak menjadikannya berperlembagaan,” ujar Kit Siang lagi sambil menambah bahawa Apandi, sebagai Peguam Negara hanyalah penasihat undang-undang kepada kerajaan dan tidak berkuasa memberi kata putus dalam hal undang-undang di Malaysia.

Rabu lalu, pimpinan HARAPAN diketuai Tun Dr Mahathir menghantar petisyen ke Istana Negara bagi memohon supaya Yang di-Pertuan Agong merujuk keputusan kerajaan ke Mahkamah Persekutuan. – Roketkini.com