Berita

Persoal pemilik Malindo isyarat UMNO tidak ikhlas lancar Malaysian Indian Blueprint

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Sikap berdiam diri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membiarkan sayap pemuda partinya dan pertubuhan Perkasa mempersoalkan keturunan pemilik saham terbesar Malindo Air, Chandran Rama Murthy adalah isyarat sokongan kepada politik perkauman.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata ini menunjukkan bahawa ucapan Najib Razak ketika mengumumkan Malaysian Indian Blueprint (MIB) adalah suatu pembohongan semata-mata.

“Rakyat Malaysia berketurunan India memiliki saham terbesar dalam syarikat penerbangan bukan satu kesalahan. Terutamanya selepas ucapan Najib untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat India ketika melancarkan MIB,” tegas Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, tidak sampai dua bulan ia dilancarkan; sudah kedengaran tuntutan daripada UMNO dan Perkasa yang terganggu melihat seorang individu berketurunan India sedang mengecap kejayaan.

“Isu kad pengenalan biru dan status tanpa kerakyatan tetap tidak dapat diselesaikan. Pelan Induk Masyarakat India hanya sekadar pelan induk. Ini sangat membimbangkan,“ tambahnya.

Minggu lalu Pemuda UMNO dan kumpulan ultra-Melayu, Perkasa mempersoalkan bagaimana Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air dan isterinya memiliki 46 peratus saham syarikat penerbangan terbabit.

Chandran menjadi pemegang saham terbesar Malindo Air apabila syarikat terkait kerajaan, National Aerospace and Defence Industries (Nadi) dilaporkan mengurangkan pegangannya dalam Malindo daripada 50 peratus kepada 5 peratus sahaja.

“Selepas 60 tahun Merdeka, kenapa kita masih mempersoal satu sama lain, bukan atas dasar siapa kita, tetapi dari mana asal usul kita?” soal Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Raikan Malindo bersarkan merit, bukan atas dasar siapa yang memiliki syarikat itu.

“Tidak cukup baguskah pencapaian dan kelayakan akademik seseorang, hanya kerana warna kulit yang berbeza? Kita semua boleh bermula dengan mengiktiraf kemalaysiaan dengan mengiktiraf kejayaaan Rama Murthy dan mengucapkan selamat kepadanya,” tambah beliau.

Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Abdul Aziz Abdul Rahman turut mempersoalkan reaksi pemuda UMNO dan Perkasa dengan berkata, “Dia adalah rakyat Malaysia. Itu yang penting.” – Roketkini.com