Berita

P.Pinang belanja lebih RM300 juta projek tebatan banjir, sangkal dakwaan BN

GEORGE TOWN, 10 OGOS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menyangkal dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa berlaku penyelewengan melibatkan wang Amanah Saliran.

Exco negeri, Chow Kon Yeow berkata, wang yang dikutip melalui caruman saliran oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) itu telah dimanfaatkan dengan sebaiknya kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, bagi tempoh Tahun 2008 hingga 2017, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM176.9 juta untuk projek-projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh ini hanya berjumlah RM131.9 juta.

“Ini membuktikan ketegasan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir kilat di negeri ini,” katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri dalam kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, katanya yang juga Adun Padang Kota, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Belanjawan 2017 untuk membiayai sembilan projek tebatan banjir berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Bendahari Pemuda MCA, Datuk Lee Beng Seng seperti dilaporkan The Star Online pada 7 Ogos lepas yang mendakwa kerajaan negeri kononnya menyeleweng Wang Amanah.

Menyentuh perkara berkaitan, Kon Yeow berkata, pihak kerajaan negeri, JPSPP dan MPSP telah mengambil maklum mengenai teguran Ketua Audit Negara dalam laporannya berhubung kelemahan dalam penyerahan hasil caruman saliran.

Sehubungan itu, katanya, pihak MMK Kerajaan Negeri dan MMK Tebatan Banjir telah mengeluarkan arahan kepada MPSP untuk menyerahkan baki kutipan terkumpul kepada JPSPP yang dijangka selesai pada penghujung tahun ini.

“Manakala kutipan yang semasa perlu diserahkan kepada JPSPP setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaan,” katanya. – Roketkini.com