Berita

Penutupan pasar lama Semporna jejas pendapatan peniaga

SEMPORNA, 9 OGOS: Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong menggesa supaya Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah menyelesaikan masalah penjaja pasar ikan di sini yang kehilangan tempat mencari mencari nafkah ekoran penutupan pasar lama berkenaan oleh Majlis Daerah Semporna (MDS).

Menurutnya, MDS perlu mengambil kira kebajikan dan kepentingan peniaga yang memegang lesen menjaja di pasar tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan.

Beliau berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan perlu bersikap telus tanpa sebarang agenda tersembunyi.

“Apa yang membimbangkan saya adalah, penutupan pasar ikan lama ini bukanlah disebabkan pembinaan pasar baru dan penaikan taraf pasar lama, tetapi adalah disebabkan ada agenda lain.

“Saya berpendapat masalah ini ada persamaan dengan pembinaan bangunan komersil di tempat letak kereta Sabindo di Tawau, yang mana kawasan yang menjadi tapak penjaja terpaksa di tutup bagi memberi ruang kepada syarikat swasta yang berkepentingan membina bangunan kedai di tapak berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, jika benar kerajaan ingin menaik taraf tapak berkenaan, tapak sementara perlulah disediakan kepada penjaja untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

“Pihak majlis pula juga boleh membuka kaunter penguatkuasaan dikawasan berhampiran supaya dapat memantau aktiviti di sana,” katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, Jimmy turut mengetengahkan isu pencemaran bau dan kewujudan peniaga-peniaga haram yang menjalankan aktiviti mereka di kaki-kaki lima bangunan pekan Semporna.

Katanya, perkara tersebut sedikit sebanyak telah mengganggu, mencemarkan persekitaran dan pemandangan yang secara langsung turut menjejaskan pendapatan pengusaha restoran berhampiran dengan kawasan berkenaan.

“Masalah serta punca mengapa para peniaga ini tidak disediakan tempat sementara berniaga harus di beri penilaian semula oleh pihak MDS bagi membendung pencemaran bau serta kesesakan di kawasan terbabit,” katanya lagi. –Roketkini.com