Berita

Exco P. Pinang ditahan kerana dua helai surat; kenapa SPRM tak tangkap MO1?

GEORGE TOWN, 14 OGOS: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh hanya kerana dua helai surat memohon pertimbangan pihak berkuasa tempatan menangguhkan tindakan terhadap kilang tidak sah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, jika dua surat memohon pertimbangan itu dianggap rasuah, maka, seluruh exco, Menteri Besar, Menteri Persekutuan, Timbalan Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri tidak akan terkecuali.

“Saya yakin sekali bahawa mereka juga ada mengeluarkan surat-surat yang mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya membuat pertimbangan berhubung sesuatu perkara,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan.

Lebih mengecewakan, cara SPRM itu bertindak katanya seolah-olah memberi gambaran Pulau Pinang seperti negeri paling rasuah di negara ini.

“Mengapa SPRM melayan Phee seolah-olah beliau penjenayah nombor satu di Malaysia tetapi takut untuk menyiasat ‘MO1’ dalam skandal 1MDB yang telah menjadikan Malaysia sebagai ‘negara penyangak’ global?

“SPRM telah bawa Phee menyerbu sekurang-kurangnya lima rumah dan mereka gagal menemui malah satu sen pun penyelewengan atau apa-apa barangan berharga.

“Jika Phee rasuah, buktikan kesalahannya dan tangkaplah. Tapi saya tidak percaya Phee merupakan pemimpin yang buat kekayaan dengan rasuah,” katanya lagi.

Phee yang ditahan sejak Jumaat lalu, dibebaskan dari tahanan SPRM hari ini setelah Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengenepikan perintah reman lima hari ke atasnya. – Roketkini.com