Berita

Gangguan bekalan air, elektrik dan sistem kumbahan hantui penduduk Sandakan

SANDAKAN, 15 OGOS: Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa masyarakat di sini apabila putus bekalan air selama beberapa hari dengan kelewatan tindakan dari pihak berkuasa selain gangguan bekalan elektrik dan masalah penyelenggaraan sistem kumbahan najis.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt berkata, suasana tidak selesa yang menyelubungi sebagaian besar rakyat Sandakan jelas satu pengabaian dan kelalaian kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Difahamkan, setelah gangguan bekalan air berlaku selama beberapa hari, barulah Jabatan Air sedar bahawa saluran paip di Batu 22 telah bocor, ia mengakibatkan separuh kawasan di Sandakan ketiadaan bekalan air, terutamanya bangunan tinggi atau kawasan tanah tinggi.

“Mengapa masalah ini boleh  berlaku sedangkan masalah bekalan air merupakan kemudahan asas yang harus dibekalkan oleh kerajaan kepada rakyat, ke manakah janji kerajaan “rakyat diutamakan”?”soalnya yang juga Pengerusi DAP Sabah dalam kenyataan.

Menurutnya, antara punca kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan masalah bekalan air ialah akibat kekurangan kontraktor.

Ia telah menyebabkan sebahagian kerja penyemakan dan pembaikan tidak dapat dijalankan seperti sebelum ini.

Dalam masa yang sama Stephen percaya kewujudan isu ini juga akibat dari kesan kes rasuah Jabatan Air Sabah yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Stephen turut mengetengahkan aduan tentang kerosakan penghawa dingin di perpustakaan Sandakan Jalan Leila yang telah rosak dan tidak dibaiki sejak enam bulan lalu.

“Berapakah kos yang diperlukan untuk memperbaiki penghawa dingin? Mengapakah kemudahan asas pun tidak dapat dibekalkan? Apakah yang boleh kerajaan BN lakukan?” soalnya.

Di samping itu, beliau juga mahu supaya pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah lif di Hospital Sandakan yang telah menyukarkan kakitangan dan pelawat selain masalah sistem kumbahan kawasan yang sehingga kini belum diselesaikan.

“Setakat bulan Jun tahun ini, kerajaan telah memperoleh RM84 bilion hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Untuk selesaikan masalah yang berlaku ini, kerajaan tak perlukan jumlah yang banyak. Tapi apa yang mereka lakukan dengan cukai itu jika tidak disalurkan untuk menyelesaikan masalah rakyat?” katanya lagi. –Roketkini.com