Berita

Kerja Ketua Polis siasat rusuhan Nothing to Hide 2.0, bukan berlagak hakim

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta bersikap profesional menyiasat dalang kekecohan forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini dan bukan menyalahkan pihak penganjur sebelum siasatan selesai.

Gesaan ini dibuat Ketua Sosialis Muda DAPSY, Wong Kah Woh dalam sidang media sebentar tadi di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan.

Beliau menjawab soalan media ekoran kenyataan Khalid sebelum ini yang berkata penganjur akan dikena tindakan undang-undang kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Sebelum Ketua Polis buat apa-apa kesimpulan, beliau bolehlah merujuk kepada video yang dirakam sewaktu insiden tercetus.

“Jangan salahkan siapa-siapa sebelum siasatan selesai. Adalah tanggungjawab polis untuk pastikan program berjalan lancar.

“Polis perlu siasat mereka yang memulakan kekecohan dan jangan menuding jari kepada penganjur untuk alih perhatian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning.

Terlebih dahulu, beliau mewakili DAPSY merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua unit keselamatan Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada Unit Tindak DAP, ARIF (AMANAH), Squad AMK dan Pemuda ARMADA yang berjaya menjalankan tugas dengan baik.

Saksi anggota Unit Tindak DAP, Daniel Low (kiri) dan Ketua Unit Tindak bertugas, Lee Fu Haw

Dalam perkara berkaitan,  Presiden Kesatuan Antarabangsa Sosialis Muda (IUSY), Howard Lee  mengingatkan bahawa ketua polis negara tidak mempunyai kuasa untuk ‘menjadi hakim’ dengan menyalahkan mana-mana pihak.

“Kerja beliau ialah siasat, bukan jadi hakim. Atas dasar apa beliau dakwa penganjur bersalah?

“Saya nak bawa contoh; misalnya ada keganasan berlaku di negara kita, mana boleh kita salahkan dia (polis) bersalah. Jika tak sudi buat kerja, biar orang lain buat,” katanya yangjuga Adun Pasir Pinji.

Katanya, beliau bersama salah seorang saksi anggota Unit Tindak Daniel Low telahpun memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan yang dijalankan.

Beliau turut mengecam cubaan pihak tertentu yang cuba menyalahkan pihak penganjur dengan memberi gambaran palsu terhadap insiden tersebut.

Politik samseng semakin menjadi-jadi

Menzahirkan kekecewaannya, Ketua Unit Tindak DAP, Eddie Ng berkata budaya politik samseng di negara ini semakin berleluasa.

“Sebab itulah kita tubuhkan Unit Tindak DAP untuk atasi budaya politik samseng sebegini. Kami takkan berganjak apabila berdepan dengan samseng,” tegas Adun Balakong itu.

Menurutnya, keselamatan hadirin yang terdiri dari orang awam perlu diutamakan dalam apa juga program yang dianjurkan.

Ketua Unit Tindak DAP yang bertugas Lee Fu Haw berkata, 40 anggota telah ditempatkan sepanjang ancara berlangsung dan dibahagian di luar dan di dalam dewan.

“Semasa soalan-soalan (berbentuk provokasi ditanyakan), kita sudah maklumkan untuk jaga-jaga. Saya panggil Unit Tindak masuk dalam dewan (untuk kawal keselamatan),” katanya lagi.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha DAPSY Kebangsaan Bryan Lai; Penolong Setiausaha Organisasi DAPSY, Edmund Teoh; AJK DAPSY, Dyana Sofya; Bendahari DAPSY Selangor, Shakir Ameer dan beberapa anggota Unit Tindak. – Roketkini.com