Berita

Akta Rahsia Rasmi jadi alat lindungi perasuah – Kit Siang

PETALING JAYA, 17 OGOS: Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) yang sering dilihat menjadi pelindung kepada aktiviti rasuah dan salah guna kuasa hanya boleh dimansuhkan dengan menukar kerajaan dalam pilihanraya akan datang.

Tanpa memansuhkan akta tersebut, media dan rakyat negara ini akan terus dibelenggu ketakutan untuk mendapatkan maklumat yang benar dalam urustadbir kerajaan.

Demikian kesimpulan yang boleh dibuat dalam forum ‘OSA: Time to Renew or Repeal?’ malam tadi di sini yang menampilkan empat ahli panel iaitu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit siang; Syahredzan Johan, peguam dan aktivis hak asasi manusia; Jahabar Sadiq, CEO The Malaysian Insight dan Ezam Mohd Noor, bekas tahanan OSA.

Menurut Kit Siang, DAP sentiasa komited kepada perjuangan kebebasan bermaklumat yang telah diperjuangkan sejak berdekad-dekad lamanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya agenda pemansuhan OSA diperjuangkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Saya akan mencadangkannya dalam mesyuarat HARAPAN supaya ia boleh menjadi salah satu daripada manifesto HARAPAN.

“Tidak mungkin kerajaan sedia ada akan buat perubahan, ia mesti dijadikan manifesto HARAPAN untuk mansuhkan OSA dan gantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat,” ujarnya

Sepanjang kerjaya politiknya, Kit Siang pernah disabitkan dengan lima pertuduhan di bawah OSA melibatkan skandal rasuah jualbeli senjata melibatkan kerajaan dengan sebuah syarikat Swiss.

“38 tahun lalu, saya telah mengusulkan sebuah Rang Undang-Undang Persendirian untuk memansuhkan OSA.

“Bukan di Malaysia sahaja kita perjuangkan kebebasan maklumat, malah di seluruh dunia,” kata beliau.

Bersetuju dengan pandangan Lim Kit Siang, bekas senator yang juga bekas tahanan OSA Ezam Mohd Nor menenkankan bahawa OSA merupakan alat terpenting melindungi rasuah oleh pemimpin negara ini.

Beliau berkata isu terpenting yang perlu dilihat dalam perkara ini ialah mengenai kemewahan memetik sabda Nabi Muhammad S.A.W bahawa cabaran umatnya pada masa hadapan ialah kemewahan, “Ini adalah akarnya,” kata Ezam.

Menurutnya, OSA yang digunakan sebagai pelindung penyelewengan sering dikatkan dengan keselamatan.

“Sekiranya anda tidak mengubah kerajaan pada pilihan raya seterusnya, OSA akan lebih diperhalusi bagi memastikan pemimpin korup ini kekal mewah,” katanya. – Roketkini.com