Berita

HARAPAN rangka manifesto khas untuk Sabah dan Sarawak

KUCHING, 18 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) telah membentuk Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan Sabah-Sarawak bagi membincangkan agenda autonomi dua wilayah itu untuk mencapai status ‘rakan kongsi setara’ yang merupakan asas Pembentukan Malaysia.

Jawatankuasa itu dianggotai pemimpin HARAPAN dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan itu telah pun memulakan perbincangan pada 14 Ogos lalu.

“Antara isu yang dibincangkan ialah penurunan kuasa kepada negeri dan mendefinisikan semua kedudukan negeri-persekutuan untuk mencapai prinsip ‘rakan kongsi setara’ yang merupakan asas kepada pembentukan Malaysia,” kata Naib Presiden HARAPAN, Chong Chieng Jen dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan Sabah dan Sarawak

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, sejak 54 tahun lalu, Sabah dan Sarawak gagal meraih keseimbangan pembangunan di bawah Barisan Nasional. Layanan buruk itu termasuk pengagihan peruntukan dasar-dasar yang tidak adil.

“Oleh yang demikian, HARAPAN telah meletakkan matlamat khusus kepada isu yang melanda Sabah dan Sarawak untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional selama ini,” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Sarawak.

Chong berkata, manifesto yang dirangka itu akan membentuk dasar-dasar yang akan dilaksanakan setelah HARAPAN membentuk kerajaan persekutusan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Dalam kata lain, perbincangan manifesto itu termasuk mengenai masa depan Sarawak. Kita tidak akan biarkan BN untu terus mengeksploitasi dan memijak-mijak hak dan kebajikan rakyat Sarawak.

“HARAPAN memberikan tawaran baharu yang jauh lebih baik,” katanya lagi. – Roketkini.com