Berita

Najib tidak akan berani nafi skandal 1MDB, bina persepsi jahat terhadap DAP

SERDANG, 23 OGOS: Serangan Barisan Nasional (BN) untuk melemahkan DAP dengan pelbagai tuduhan palsu kepada pemimpinnya termasuk tuduhan rasuah menunjukkan parti yang diketuai Najib Razak itu semakin terdesak.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee berkata, segala dakwaan tersebut bertujuan untuk mewujudkan gambaran buruk rakyat kononnya DAP turut mengamalkan rasuah dan sama sahaja dengan UMNO-BN.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan fitnah ke atas Lim Guan Eng melibatkan pembelian rumah dan dakwaan rasuah isu kilang haram melibatkan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

“Lim Guan Eng didakwa telah membeli banglo dengan harga bawah pasaran tetapi apa yang saya berasa bangga adalah beliau berani menafikan tuduhan tersebut. Beliau berani kerana benar.

“Bagaimana pula dengan Najib? Beranikah Najib menafikan pelbagai tuduhan terhadap beliau termasuk isu RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya, pembelian cincin intan oleh isterinya dan tuduhan-tuduhan berkaitan skandal 1MDB?

“Malah, Najib secara terbuka telah mengaku bahawa memang benar beliau terima duit RM2.6 bilion melalui akaun peribadinya,” kata Adun Balakong itu.

Phee Boon Poh pula ditahan oleh SPRM dalam isu melibatkan sebuah kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Penahanannya disusuli dengan siaran berita palsu oleh media-media kawalan BN kononnya memiliki sejumlah RM2 juta dalam empat akaunnya sedangkan dakwaan tersebut ternyata tidak benar.

Phee malah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media tersebut kerana telah menyiarkan berita fitnah yang dilihat sengaja untuk menjejaskan reputasinya dan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Saya ingin mengingatkan Najib dan konco-konco beliau supaya jangan menganggap rakyat Malaysia tidak tahu bagaimana untuk membezakan kenyataan dan fitnah.

“Hakikatnya, kedua-dua pemimpin DAP itu berani menafikan tuduhan dengan jelas dan tegas sedangkan Najib pula tidak berani membuat penafian secara terus terang terhadap segala dakwaan terhadap dirinya sendiri,” katanya lagi. – Roketkini.com