Rencana

Perlu tunggu sehingga 2050 untuk RCI 1MDB?

Tampaknya kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menggali semula skandal tukaran wang asing (Forex) yang melibatkan kerugian hampir USD 10 billion pada tahun 1992. Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri juga telah memberi isyarat bahawa akan ada RCI yang sama untuk membuka pekung lama insiden berdarah Memali yang disebabkan oleh perbalahan politik.

Insiden yang sudah berlaku hampir puluhan tahun ini mahu dikaji semula walaupun kerajaan sedar kebarangkalian keterangan, bukti dan saksi tidak lagi boleh dikenalpasti atau sudah dilenyapkan. Tempoh yang lama bakal menyukarkan usaha untuk mencari punca sebenar lantas menjejaskan keseluruhan siasatan dan kebenaran yang mahu dicari.

Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan untuk menubuhkan RCI adalah suatu tindakan yang dialu-alukan. Cumanya, mengapakah kedua-dua isu yang sudah lama ini mahu digali sedangkan isu yang penting dan mendesak seperti 1MDB dibiarkan tanpa sebarang siasatan. Adakah skandal 1MDB juga bakal mengalami nasib yang sama dengan isu Forex dan Memali? Adakah selepas kami bercucu nanti, barulah RCI bagi 1MDB akan ditubuhkan di saat kesemua bukti dan keterangan sukar untuk dikenalpasti?

Selaku anak muda, saya sedar isu 1MDB merupakan isu paling mendesak ketika ini untuk dilaksanakan RCI kerana isu ini sedang menjadi perhatian umum dan dilabel sebagai suatu skandal kleptokrasi terbesar di dunia. Lantaran itu, demi menjaga maruah negara, menjadi satu keperluan untuk RCI ditubuhkan, apatah lagi kesemua keterangan, bukti dan saksi masih hidup dan segar untuk dipertimbangkan oleh RCI.

Bahkan sememangnya sebelum ini, kerajaan telah menubuhkan RCI sejurus selepas sesuatu insiden tersebut berlaku antaranya RCI mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlaku pada 1998 (1999), RCI V.K Lingam mengenai skandal kehakiman yang berlaku pada 2002 (2007) dan RCI kematian Teoh Beng Hock yang berlaku pada 2009 (2010).

Walaupun secara dasarnya RCI merupakan suatu inisiatif yang baik, RCI sebenarnya tidak dapat menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh. RCI hanya menyiasat secara terperinci berhubung dengan perkara yang melibatkan kepentingan awam atau “public importance”.

RCI tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pelaku sebaliknya hanya mencadangkan syor-syor penambahbaikan proses serta tindakan yang sesuai kepada pelaku yang terlibat agar perkara tersebut tidak berulang lagi. Namun, kerajaan mempunyai budi bicara untuk meneruskan syor RCI tersebut atau mengabaikan syor tersebut, sahaja. Segala-galanya tertakluk kepada kerajaan.

Perkara ini pernah terjadi sebelum ini apabila RCI mengenai reformasi polis pada 2004 mencadangkan IPCMC (Independent Police Complaints and Misconduct Commission) iaitu sebuah badan pemantau bebas salah laku polis tetapi kerajaan Malaysia enggan melaksanakan cadangan tersebut sehingga kini. Tiada kewajipan yang diletakkan oleh akta untuk memastikan segala syor yang dicadangkan oleh RCI dilaksanakan.

Maka, mengambil sikap terbuka mengenai RCI Forex dan Memali ini, saya menyeru kepada kerajaan untuk berani sama menubuhkan RCI 1MDB dengan segera dan tidak perlu menunggu sehingga 2050 untuk rakyat mengetahui dalang sebenar di sebalik skandal 1MDB ini. Seperti kata pepatah undang-undang, “Justice delayed is justice denied” (Keadilan yang dilewatkan adalah keadilan yang dinafikan). Jika benar kerajaan mahu mencari kebenaran dalam isu Forex dan Memali, adakah kerajaan tidak mahu mencari kebenaran yang sama bagi 1MDB, a brainchild kepada Perdana Menteri?

*Farhan Haziq adalah Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Subang.