Berita

DAP ucap takziah buat keluarga Datuk Thasleem, bapa golongan tertindas

IPOH, 24 OGOS: Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran hari ini menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian aktivis Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

“Thasleem meninggalkan kita pada jam 10 malam 23 Ogos 2017, pada usia yang agak muda, 66 tahun. Saya meratapi kehilangan seorang sahabat, warganegara yang baik serta prihatin terhadap masyarakat,” kata Kula dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang Muslim yang berpegang teguh terhadap ajaran agamanya meskipun dibesarkan dalam keluarga yang menganut agama Hindu, malah tidak lokek untuk memberikan sumbangan kepada golongan terpinggir dan memerlukan.

“Beliau seorang yang kaya dan pemurah dalam membantu mereka yang memerlukan, terutama pelajar yang memerlukan bantuan untuk melengkapkan pengajian mereka,” katanya.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, Thasleem yang merupakan pengerusi Badan Hak Asasi Kaum India Kebangsaan (NIAT) akan terus diingati atas pembabitannya dalam isu kontroversi membabitkan novel Interlok yang dijadikan sukatan pelajaran tingkatan lima.

“Pembaca mendapati terdapat istilah dan rujukan di dalam novel tersebut yang menghina kaum India dan Cina.

“Thasleem kemudiannya mengisytiharkan buku berkenaan sebagai haram mengikut agama Islam. Selepas diperdebatkan berbulan-bulan, Kementerian Pendidikan akhirnya akur dan menarik semula buku itu (daripada silibus sekolah),” katanya.

Thasleem, katanya, ada menghubungi beliau dua minggu lepas bagi menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap kegagalan kerajaan menggubal undang-undang bagi menghalang penukaran agama secara unilateral bawah umur oleh salah seorang ibu bapa.

“Thasleem sering terlibat dalam isu penukaran unilateral membabitkan Indira Gandhi sejak 2009 sehingga akhir hayatnya semalam. Beliau merasakan penukaran unilateral bawah umur bertentangan dengan pegangannya dan menentangnya,” ujarnya.

Sementara itu, DAP Pulau Pinang hari ini turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Thasleem.

“Beliau merupakan rakyat Malaysia yang tulen, aktivis yang tidak mengenal lelah dan mencintai negara serta rakyatnya.

“Seorang Bapa kepada golongan yang tertindas dan terpinggir. DAP menyanjung perjuangan beliau,” kata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy.

Allahyarham Datuk Thasleem meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar KPJ Damansara sejak beberapa hari lepas. Roketkini.com