Berita

Kit Siang ramal HARAPAN bentuk kerajaan di Melaka

MELAKA, 28 OGOS: Peralihan 15 peratus undi Melayu dan lima peratus undi bukan Melayu di Melaka bakal memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) sekaligus membentuk pentadbiran baharu, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Jika ini berlaku, HARAPAN akan menang 17 daripada 28 kerusi negeri (DUN) dan mengambil alih pentadbiran kerajaan BN di Melaka,” katanya.

Bagaiamana pun, tugas merampas kerusi dari Barisan Nasional (BN) katanya bukanlah perkara yang mudah dan memerlukan kerjasama padu semua pihak dalam HARAPAN.

“DAP akan mula bekerja dalam semangat mendiang Kerk Kim Hock, bekas setiausaha agung parti dan juga bekas Ahli Parlimen Kota Melaka,” katanya.

Menurut Kit Siang, cabaran demi cabaran dalam kepimpinan DAP Melaka sebelum ini tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak bekerjasama demi masa depan Melaka yang lebih baik dalam pilihan rara umum akan datang.

“Jika DAP Melaka tidak boleh bersatu dalam misi kita menumpaskan Najib dan kerajaan kleptokrasi dalam PRU14 ini, maka peluang berlakunya tsunami rakyat Malaysia sebanyak 15 dan 5 peratus semakin kecil.

“Tetapi, jika kita boleh membuka jalan dan bekerjasama dalam satu pasukan HARAPAN yang kukuh dan bersatu, kita pasti akan mewujudkan momentum tsunami politik di Melaka,” katanya lagi.

Dalam laporan sebelum ini, Kit Siang berkata peralihan 10 peratus undi Melayu dan 5 peratus undi bukan Melayu kepada HARAPAN mampu memberikan kemenangan kepada 113 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia dan mengekalkan kedudukan di Pulau Pinang dan Selangor serta memenangi tiga buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak. – Roketkini.com