Berita

Larian warna sempena sambutan Hari Kebangsaan cerminan muhibbah rakyat Malaysia

TELUK INTAN, 28 OGOS: Kejayaan larian warna Impian Malaysia sempena bulan kemerdekaan dengan penyertaan lebih 800 peserta pelbagai kaum anjuran Pusat Komuniti DAP Teluk Intan semalam mencerminkan semangat perpaduan rakyat negara ini.

Menurut penasihat Pusat Komuniti DAP Teluk Intan, Terrence Naidu, penyertaan golongan muda dalam acara ini amat dibanggakan.

“Penglibatan orang muda tanpa mengira kaum agama atau latar belakang yang datang bersama sama untuk merayakan hari merdeka amat memberangsangkan bagi saya.

“Pada zaman saya kanak-kanak pergaulan macam ini adalah suatu perkara yang biasa tetapi sejak kebelakangan ini saya melihat integrasi ini di kalangan  orang muda semakin berkurangan.

“Saya berharap sambutan  hari merdeka sedemikian dapat membawa harmoni kepada rakyat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Selain Terence, program itu turut dilancarkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat kebangsaan dan tempatan antaranya Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil; Ahli Majlis Eksekutif DAPSY, Jenny Choi; AJK DAP Perak, Dyana Sofya dan Lim Pek Har, ADUN Menglembu.

Pengerusi Pusat Komuniti DAP Teluk Intan, Dyana Sofya menzahirkan rasa teruja dengan sambutan yang amat menggalakkan dari warga Teluk Intan.

“Saya percaya acara kesukanan dan komuniti sebegini mampu mengeratkan hubungan kemasyarakatan sesama peserta dan sukarelawan dan seterusnya memupuk semangat cintakan masyarakat, tempat tinggal, negeri dan negara.

“Lagu patriotik dimainkan sepanjang program dan ucapan juga banyak menjurus kepada kebersatuan, kebersamaan dan semangat patriotisme. Ini adalah cara kami untuk menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dan saya gembira warga Teluk Intan turut menghargainya,” kata Dyana.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, sambutan yang diberikan menunjukkan rakyat Malaysia mahu hidup harmoni dan damai.

“Rakyat Malaysia mampu bersama tanpa mengira warna kulit untuk membina semula negara, terutama hubungan kemasyarakatan,” katanya.

Ketua ARMADA, Syed Saddiq pula berkata, program itu menunjukkan kepelbagaian negara ini.

“Saya amat seronok menyertai larian ini kerana saya dapat menyaksikan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama berlari untuk menyambut Hari Kemerdekaa  dan Hari Malaysia.

“Ia memang benar-benar larian ‘berwarna-warni’. Menunjukkan warna kepelbagaian negara Malaysia,” ujarnya.

Larian itu diakhiri pada jam 11 pagi dengan aktiviti melemparkan serbuk tepung berwarna-warni. – Roketkini.com