Berita

Projek tambakan laut Pulau Pinang: Najib tak perlu buat kenyataan politik

JOHOR BAHRU, 29 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak adil dalam melayani projek penambakan laut di Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) berbanding di negeri lain seperti di Johor yang diperintah Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim berkata demikian merujuk kenyataan Najib baru-baru ini yang berhasrat untuk menghentikan projek penambakan laut di Pulau Pinang dengan alasan kononnya bimbang pendapatan ribuan nelayan di negeri itu terjejas.

“Hujah beliau mengatakan projek penambakan laut di Pulau Pinang ini akan menjejaskan ribuan nasib nelayan cukup pelik, kerana hujah yang sama patut dinyatakan di negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Projek penambakan laut di Selatan Johor, baik di Pengerang, Selat Johor dan Tanjung Piai yang jauh lebih besar, terlebih dahulu memberi kesan besar terhadap masa depan rakyat, khususnya ribuan nelayan pantai.”

Beliau menganggap kenyataan Najib itu sebagai bermotifkan politik kerana menyasarkan serangannya terhadap projek penambakan laut di Pulau Pinang, namun menutup sebelah mata terhadap projek sama yang dilaksanakan di negeri yang dikawal BN.

Malah, katanya, amaran yang dikeluarkan Najib itu juga bukanlah arahan bertulis yang mengikut proses dan sistem sedia ada, selaras dengan keperluan bagi memulakan projek berkenaan yang seharusnya mematuhi undang-undang negeri dan Persekutuan.

“Sungguhpun beliau Perdana Menteri, setiap kata-kata, baik janji atau arahan haruslah mengikut proses-proses yang telah diperuntukkan kepada agensi yang mengawal selia projek tersebut.

“Beliau harus sedar bahawa beliau bercakap atas kapasiti Perdana Menteri, bukan kapasiti Presiden UMNO atau Pengerusi BN yang ingin memancing undi,” katanya.

Sehubungan itu, Mahdzir menyeru agar semua agensi di peringkat Persekutuan dan negeri agar melaksanakan tugas berkaitan penambakan laut berdasarkan peraturan yang ditetapkan dan tidak terdorong dengan kenyataan politik pihak tertentu.

“Saya menggesa kepada semua pihak agak melihat dan melayan projek-projek pembangunan ini secara objektif, bukan secara politik.

“Kita tidak mahu rakyat seperti golongan nelayan ini menerima kesan teruk dan kekal dari projek-projek ini, baik di Johor, Pulau Pinang dan negeri-negeri yang lain pada masa ini dan masa hadapan,” ujarnya. – Roketkini.com