Berita

Sudah tiada wanita mahu terajui Akademi Inovasi Wanita?

BATU KAWAN, 29 OGOS: Pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi sebuah badan pemerkasaan wanita bagi sektor korporat menunjukkan peminggiran golongan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Bagaimana kerajaan mahu memastikan wanita memegang jawatan pembuat keputusan sedangkan perdana menteri sendiri mengambil jawatan itu?

“Adakah Najib cuba katakan tiada pemimpin wanita yang layak, bijak dan berani dalam Kabinet yang boleh menerajui badan tersebut?” soal Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Beliau mengulas pelantikan Najib menjadi pengerusi Akademi Inovasi Wanita (Akademi MyWin) Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini oleh Presiden MyWin Tan Sri Shahrizat Jalil, manakala Tan Sri Lim Kok Wing dilantik timbalan pengerusi.

Ini bermakna, kedua-dua jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi adalah lelaki.

Keadaan itu kata Kasthuri adalah tidak logik memandangkan masih ramai ahli akademik wanita atau badan bukan kerajaan wanita boleh memimpin badan terbabit.

Kata Kasthuri, sehingga saat ini, hanya 16.8 peratus pengarah di 100 syarikat tersenarai tertinggi di Bursa Malaysia dipegang wanita.

“Melahirkan generasi wanita pembawa pembaharuan di sektor korporat sepatutnya selaras dengan usaha berterusan meningkatkan bilangan wanita dalam sektor pembuat keputusan di sektor korporat,” katanya lagi.

Ini bukanlah kali pertama Najib dilantik menerajui badan memperkasa golongan wanita.

Pada tahun 2012, najib mengambil alih peranan Menteri Pembangunan dan Masyarakat menggantikan Shahrizat setelah tamat tempoh jawatan senator. – Roketkini.com