Berita

Guan Eng seru rakyat bersatu lakar perubahan politik sempena 31 Ogos

GEORGE TOWN, 30 OGOS: Ulangtahun Hari Kebangsaan ke-60 adalah masa yang tepat untuk rakyat Malaysia bersatu-padu melakar perubahan politik, ekonomi dan mengembalikan semula roh serta semangat kemerdekaan sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-60, supaya semangat perjuangan menentang penjajah diteruskan.

“Apa yang lebih penting kini ialah meneruskan perjuangan sebagaimana kata-kata Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, demi sebuah negara berlandaskan prinsip keadilan dan kebebasan,” katanya.

Beliau berkata, sesebuah kerajaan seharusnya mementingkan rakyat dengan memberi tumpuan kepada pemberdayaan rakyat melalui kemahiran dan pengetahuan.

“Kita akan memperkuasakan rakyat dengan hak, peluang dan kebebasan. Kita akan memperkayakan kehidupan rakyat dengan pembangunan sama rata untuk semua.

“Kita tidak mahu Malaysia dikenali di dunia sebagai sebuah kleptokrasi. Kita juga tidak mahu Malaysia yang autokratik atau sebagai sebuah negara yang tidak mampu memenuhi kemampuan atau potensinya sendiri.

“Justeru, marilah kita menuntut kembali ikrar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali seluruh pelusuk dunia sebagai sebuah negara yang bersatu hati,” kata Guan Eng.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini untuk bersatu hati menilai kebenaran dengan telus tanpa memikirkan ganjaran dan rasuah.

“Rakyat Malaysia sepatutnya sedar walaupun negara telah mengharungi banyak kesusahan dan rintangan, kita mampu memperkuasakan setiap individu.

“Itu adalah hak mereka, dan itu adalah tanggungjawab mereka. Apa-apa pun, kuasa poltik terletak pada Rakyat,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. – Roketkini.com