Berita

Krisis kemanusiaan Rohingya: Najib patut contohi Tun M, Indonesia

GEORGE TOWN, 5 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa mencontohi sikap pemimpin terdahulu dalam menyatakan pendirian tegas mengenai isu krisis kemanusiaan seperti yang berlaku terhadap etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, semasa kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia sangat dihormati oleh warga dunia kerana menjuarai isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa seperti di Palestin dan Bosnia.

“Maka, seharusnya kepimpinan Datuk Seri Najib Razak menggunakan kelebihan ini untuk meneruskan sikap Malaysia yang sentiasa proaktif dan lantang dalam isu kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Najib juga, katanya, harus menyokong tindakan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mengambil langkah di luar kebiasaan daripada dasar tidak campur tangan ASEAN dengan melakukan pelbagai inisiatif bagi menangani krisis kemanusiaan berkenaan.

“Presiden Jokowi telah mengarahkan agar Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi untuk ke Myanmar bagi berbincang mengenai penyelesaian bersama.

“Malah, Retno juga telah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi Penasihat Keselamatan Negara dan Menteri Luar Bangladesh berhubung misi ini,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP.

Antara usaha lain yang dilakukan negara jiran itu adalah rancangan untuk mendirikan hospital di Rakhine pada akhir tahun ini selain memulakan program Humanitarian Assistance for Sustainable Community (HASCO) bernilai AS$2 juta untuk Myanmar.

Sehubungan itu, kata Zairil, Putrajaya tidak harus sekadar beretorik dan perlu menunjukkan keikhlasannya dalam memperjuangkan nasib etnik Rohingya yang berhadapan krisis kemanusiaan dengan mengambil pendirian tegas dan menyokong usaha Indonesia tersebut.

“Sebagai negara serantau yang terkesan dengan kemasukan pelarian Rohingya, kita mempunyai hak dan locus standi yang kuat dalam isu ini.

“Kemelut di Rakhine bukan sahaja menjejaskan kestabilan rantau ini, malah memberi kesan langsung terhadap kestabilan Malaysia – sebagaimana yang diperlihatkan melalui demonstrasi besar-besaran oleh komuniti Rohingya di ibu negara baru-baru ini,” katanya. – Roketkini.com