Rencana

Shamsiah Fakeh: Berkorban apa sahaja!

Sudah masuk tahun ke-60 kita menyambut kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan kolonial barat. Kebebasan ini tidaklah datang dengan percuma. Kebebasan ini adalah hasil titik peluh dan titik darah daripada perjuangan pelbagai gerakan nasionalisme di tanah air yang tercinta ini, tidak kiralah gerakan aliran kanan ataupun kiri.

Mungkin semakin kurang yang akan mengenang sejarah perjuangan ini. Mungkin secara jujurnya, tidak ramai yang betul-betul memahami erti Merdeka ataupun dapat menghayati kemerdekaan ini. Barangkali ini terjadi kerana kebanyakkan kita tidak pernah merasai penjajahan kolonial barat. Jadinya, kita tidak pernah merasai kehilangan kebebasan ini.

Saya juga tidak lahir pada zaman itu. Kebebasan saya tidak pernah dicengkam oleh penjajah-penjajah barat. Saya jua tidak pernah ditindas oleh penjajah-penjajah ini. Tetapi, saya dapat melihat itu semua daripada perjalanan hidup nenek saya, Shamsiah Fakeh.

Nenek saya bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi ataupun lahir daripada golongan bangsawan. Beliau cuma seorang gadis biasa yang memaksa dirinya untuk menjadi berani dan bangkit berjuang kerana beliau tidak mahu menerima nasib penjajahan oleh British.

Perjuangan beliau ini tidak menjanjikan apa-apa. Tidak menjanjikan kejayaan. Malah, lebih jauh daripada menjanjikan sebuah pangkat ataupun harta. Apa yang menggerakkan perjuangan beliau, hanyalah sebuah harapan. Harapan untuk membebaskan tanah air ini daripada cengkaman penjajah British pada ketika itu.

Shamsiah Fakeh merupakan seorang nasionalis yang berjuang melawan British. Beliau merupakan salah seorang anak muda yang melibatkan diri dalam melawan pihak British pada usia yang teramat awal. Semasa beliau mengetuai Angkatan Wanita Sedar (AWAS), umurnya baru 22 tahun!

Begitu juga dengan ramai lagi anak-anak muda pada ketika itu. Mereka tidak gentar dan tidak takut. Malah, ramai diantara mereka sudah mengikuti gerakan politik itu seawal belasan tahun.

Mereka juga tidak dijanjikan apa-apa.

Tidak dijanjikan kejayaan, pangkat ataupun harta. Mungkin, juga hanya dengan sebuah harapan. Mereka ini tidak dikenal ramai hanyalah kerana mereka bukan pemimpin-pemimpin utama pada ketika itu.

Nenek saya telah mengorbankan sepanjang hayatnya untuk tanah air ini, namun, beliau tidak pernah menyesal. Walaupun tanpa sebarang pangkat ataupun harta, beliau telah mencapai matlamatnya.

Untuk mengecapi sebuah kemerdekaan.

Mungkin kini, kita tidak lagi dijajah oleh penjajah-penjajah barat. Kita tidak lagi perlu mengangkat senjata untuk melawan British. Namun, ini tidak bermaksud kita sudah kehilangan sebab untuk berjuang demi negara kami. Jangan kita lupa, penjajahan bukanlah hanya bermaksud penjajahan oleh kolonial barat sahaja. Penjajahan itu, juga boleh berlaku dari sudut penjajahan pemikiran, penjajahan budaya ataupun penjajahan ekonomi.

Perjuangan untuk tanah air ini tidak harus berhenti disini sahaja. Perjuangan ini akan diteruskan supaya Malaysia pada hari esoknya, akan lebih baik daripada hari ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada setiap pejuang-pejuang negara yang telah mengorbankan usianya demi masa hadapan Malaysia. Kini, giliran kita pula sebagai anak muda Malaysia untuk menyambung perjuangan ini. – Roketkini.com