KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Jika sebelum ini pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan menyebelahi Barisan Nasional (BN), kini, situasi tersebut sudah berubah.
Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 akan datang bukan sahaja mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) malah juga bakal merugikan PAS.
Hujah ini katanya berdasarkan situasi politik semasa ekoran krisis kepimpinan UMNO dan PAS pada 2015 telah memberi kesan besar kepada kekuatan dua parti politik itu sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Perpecahan itu menyebabkan pengundi-pengundi yang mengundi UMNO pada 2013 beralih sokongan kepada Pakatan Harapan atas prinsip menolak Najib dan UMNO.
“Akan ada pula pengundi yang mengundi PAS dalam pilihan raya lepas beralih sokongan kepada Pakatan Harapan kerana tidak bersetuju PAS menjalin kerjasama dengan Umno yang pemimpin tertingginya Najib terlibat dengan skandal paling besar negara,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pengundi setia PAS yang dipimpin Hadi Awang yang kini bertindak menjadi ‘jurucakap’ kerajaan Najib mungkin mengundi BN jika pertembungan satu lawan satu namun dalam pertembungan tiga penjuru, situasi itu tetap akan merugikan UMNO.
Ahli Parlimen Kluang itu berkata, selain itu faktor lain yang mampu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) ialah melibatkan kesan-kesan ekonomi akibat pelaksanaan GST, kejatuhan nilai ringgit dan pemansuhan beberapa subsidi.
“Ramai keluarga kelas petengahan rendah terjejas akibat situasi ekonomi yang mendesak dan membebankan warga kebanyakan di Malaysia,” katanya.
Apa yang penting saat ini ujarnya ialah penjelasan HARAPAN kepada pengundi untuk membezakan Pakatan Harapan dengan Umno pimpinan Najib dan sekutunya PAS.
“Salah satu klise yang perlu dibongkar adalah pendapat bahawa pertembungan tiga penjuru memanfaatkan UMNO dan BN.
“Jika benar HARAPAN lemah dan tiada arah tuju, pertembungan tiga penjuru semestinya akan menguntungkan UMNO-BN.
“Tetapi jika Pakatan Harapan tampil sebagai kerajaan alternatif yang kuat dan menarik minat golongan yang menolak pentadbiran kleptokratik Najib selain mereka yang mengimpikan permulaan baru untuk Malaysia, maka UMNO dan PAS hanya akan dipertahankan oleh penyokong tegar mereka sementara semua pengundi lain beralih sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya lagi. – Roketkini.com