Berita

Agenda perkasakan wanita bukan alasan tutup kekurangan diri – Hannah Yeoh

SUBANG JAYA, 7 SEPT: Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh hari ini tampil dengan pandangan berbeza berhubung kenyataan sayap Puteri UMNO yang menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya membuli seorang Adun wanita PKR negeri itu.

“Saya menyokong pemerkasaan dan menggalakkan penyertaan serta memperkukuhkan kedudukan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Bagaimanapun, selepas dilantik (sebagai wakil rakyat), anda berada dalam satu lapangan yang memerlukan anda untuk berdikari. Anda perlu bekerja keras seperti mana kaum lelaki.

“Hanya kerana seseorang wanita itu tidak mendapat persetujuan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, tidak bermakna dia dibuli.

“Jika dia ditegur rakan sejawat dalam dewan ekoran sikap tidak disiplin, tidak berdaya saing dan tidak matang, tidak bermakna rakan-rakannya itu seorang pembuli,” coretnya di halaman Facebook, hari ini.

Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin dilaporkan menangis semasa DUN Pulau Pinang bersidang pada dua tahun lepas kerana mendakwa kawasannya diabaikan kerajaan negeri.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim ketika itu bangun menegaskan bahawa Guan Eng ada menyebut terdapat peruntukan yang disalurkan kepada Permatang Pauh.

DUN Penanti adalah di bawah Parlimen Permatang Pauh.

Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin seperti dilaporkan media semalam mengungkit peristiwa itu dengan menyifatkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebagai pembuli.

Sebagai Speaker, Hannah berkata, beliau tidak tunduk dan melayan sentimen ‘tidak menyokong sesama wanita’ jika sebarang keputusan (ruling) yang dibuat beliau tidak memihak ahli dewan daripada kaum wanita.

“Hanya kerana anda menangis tidak bermakna orang lain perlu beri apa yang anda mahukan. Kita tidak mengambil pendekatan itu terhadap anak-anak kita yang nakal dan perkara yang sama juga tidak harus berlaku dalam politik,” katanya.

Katanya yang juga Naib Ketua Wanita DAP, mengugut untuk berhenti atau bersikap kebudak-budakkan hanya kerana sesuatu pendapat itu tidak diterima menunjukkan sikap tidak matang seseorang pemimpin.

“Jangan jadikan agenda pemerkasaan wanita sebagai alasan untuk menutup kekurangan diri.

“Sebagai pemimpin politik, suka untuk saya nasihatkan bahawa jika kita kekal dengan mentaliti bahawa kita kononnya mangsa, kita sebenarnya berhadap dengan satu musuh, iaitu diri kita sendiri.

“Jangan tertipu dengan mentaliti mangsa yang dilihat seolah-olah kekuatan, tetapi sebaliknya satu kelemahan, perlu bijak untuk bezakan kedua-duanya,” tegasnya. – Roketkini.com