Berita

DAP Sabah minta kerajaan jangan main-main tangani kerosakan jalan Kalabakan-Sapalut

TAWAU, 7 SEPT: DAP Sabah menggesa agensi kerajaan negeri berkaitan membentangkan pelan tindakan bagi menangani masalah kerosakan jalan raya di jalan Kalabakan-Sapalut akibat menjadi laluan lori balak lebih muatan.

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata, kerosakan jalan raya bernilai RM920 juta itu harus diberi perhatian secara bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).

“Isu ini merangkumi tiga aspek. Pertama, aspek kualiti jalan yang di bawah bidang kuasa JPA.

“Kedua adalah aspek penguatkuasaan, di mana pegawai penguatkuasa JPJ di jalan Kalabakan-Sapalut? Mengapa mereka tidak melakukan pemantauan terhadap lori balak di sini?

“Ketiga, adakah jumlah balak yang diangkut menggunakan jalan itu, sama dengan jumlah balak-balak yang dieksport melalui Pangkalan Kalabakan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Foong Hin membuat gesaan itu sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menurutnya mengambil sikap lepas tangan dan tidak mengemukakan jalan penyelesaian.

“Pairin dengan segala kuasa yang ada di tangan beliau, seolah-olah tidak tahu apa yang hendak dibuat. Dia berkata, perbincangan perlu dilakukan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Tapi, bukankah dia sememangnya tahu bahawa jalan tersebut menjadi laluan lebih 22 lori balak lebih muatan setiap hari. Anda tahu masalah itu, tetapi mana jalan penyelesaiannya?” kata Adun Sri Tanjong itu.

Beliau turut menzahirkan rasa ingin tahu terhadap kenyataan Pairin mengenai usia ketahanan jalan raya berkenaan yang dianggarkan 40 hingga 60 tahun tetapi berterusan rosak akibat menjadi laluan lori balak berkenaan.

“Saya rasa kita perlu melantik pakar bebas untuk melakukan audit kualiti jalan raya.

“Tak terjangkau dek imaginasi saya yang jalan dengan ketahanan sedemikian boleh dengan mudah rosak akibat daripada lori-lori tersebut dalam tempoh masa kurang dua tahun,” ujarnya. – Roketkini.com