Berita

Kurang peruntukan bukan alasan CCTV tak berfungsi di balai polis

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di balai polis penting bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Alat itu amat berguna sebagai bukti jika berlaku sebarang pertikaian melibatkan kes kematian dalam tahanan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Justeru, katanya, sebarang alasan apatah lagi melibatkan kekurangan dana tidak harus dijadikan alasan terhadap kegagalan kerajaan untuk memastikan alat itu berfungsi sepenuhnya.

“Adakah begitu teruk tahap kewangan negara kita sehinggakan kerajaan tidak mampu untuk memastikan CCTV di balai polis berfungsi?

“Nampaknya keadaan itu tidak selari dengan kenyataan perdana menteri yang mendakwa kedudukan kewangan negara di tahap yang kukuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Biro Undang-undang DAP itu berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti dilaporkan The Malay Mail, semalam, berhubung isu berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri itu berkata peruntukan yang terhad menjadi punca terhadap kegagalan kerajaan menyelenggara CCTV di balai polis.

“Walaupun ada CCTV dipasang di semua balai (polis), sama ada kamera itu berfungsi atau tidak ia adalah isu yang berlainan sama sekali,” katanya dipetik laman portal berita itu.

Gobind dalam pada itu menggesa Nur Jazlan menyelesaikan masalah tersebut dengan meminta lebih peruntukan dalam belanjawan akan datang.

“Saya gesa supaya Nur Jazlan buat sesuatu.

“Beliau perlu faham perasaan sakit dan kecewa mereka yang mendakwa menjadi mangsa terhadap insiden yang berlaku sewaktu ditahan di balai polis.

“Dia juga perlu faham bahawa kamera itu juga penting bagi menuntut keadilan terhadap pegawai yang dituduh secara semberono.

“Justeru, beliau perlu ambil maklum bahawa masalah ini perlu ditangani dengan segera,” tegasnya. – Roketkini.com