Berita

Meski ‘dikafirkan’ sejak sertai DAP, Rara tak putus semangat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kata-kata nista, cacian dan ugutan tidak pernah menjadikan wanita ini berundur dalam politik sebaliknya menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangannya dalam arena politik tanah air.

Menurut Young Syefura Othman atau lebih dikenali sebagai Rara, keputusannya memilih DAP sebagai wadah memperjuangkan hak dan nasib rakyat menjadikannya lebih tekun berdepan dengan segala tohmahan negatif sesetengah pihak.

“Saya pernah digelar pelacur, anak haram, murtad dan kafir, dan sampai ada yang mengugut mahu merogol saya.

“Jangan layan sangat kata-kata negatif orang, sebab kalau kita layan kita akan terus jadi lemah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Beliau ditemui selepas menjadi panel Wacana Sinar Siri 49 Menjelang PRU14: Kuasa Undi Wanita di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Panel Wacana Sinar itu turut disertai oleh Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Srikandi PKR, Senator Siti Aishah Sheik Ismail dan Pengarah Ameerah Malaysia (Pas), Husna Hashim.

Rara yang kini Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan berkata, golongan wanita yang ingin mencebur diri dalam politik harus kuat dan tabah menghadapi sebarang cabaran.

Ia katanya dapat dibuktikan dengan semangat dan gerak kerja yang berterusan.

“Bagi saya kalau kita hendak menyertai politik kita perlu kuat.

“Saya tidak pernah layan, kalau komen di FB, atau di mana-mana media sosial saya abaikan dan ambil yang positif sahaja.

“Untuk saya jadi lebih kuat, saya buktikan dengan hasil kerja saya,” katanya.

Selain Penolong Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Rara turut berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kajang.

Sepanjang penglibatannya bersama DAP, Rara banyak terlibat dalam program pengupayaan komuniti bersama Impian Malaysia dan merupakan Penyelaras Impian Kelantan sewaktu negeri itu dilanda banjir besar dua tahun lalu. – Roketkini.com