Berita

Azmin yakin HARAPAN Selangor jana kekuatan baru menjelang PRU14

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perpaduan utuh HARAPAN Selangor bakal menjana kekuatan baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama HARAPAN Selangor pagi tadi.

“Pagi ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat pertama Pakatan Harapan Negeri Selangor. Semua ketua-ketua parti dari DAP (Tony Pua), AMANAH (Ir. Izham Hashim) dan PPBM (Datuk Abdul Rashid Asari) bersama pimpinan kanan setiap parti telah hadir dalam mesyuarat sulung ini.

“Saya amat gembira dengan muafakat yang dizahirkan sepanjang perbincangan pagi ini. Saya yakin perpaduan yang utuh dalam Pakatan Harapan Negeri Selangor akan menjana kekuatan baru menjelang PRU14,” kata beliau.

Menurut Menteri Besar Selangor itu, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada pembentukan struktur kepimpinan HARAPAN Negeri Selangor.

Ia katanya bukan sahaja  dianggotai semua parti komponen HARAPAN Selangor tetapi turut  menampilkan kepimpinan yang berintegriti dan mewakili semua kaum termasuk kepimpinan wanita.

“Mesyuarat juga telah membincangkan secara dasar tentang manifesto dan gerak kerja pilihanraya termasuk program-program penerangan yang akan memberikan pencerahan dan maklumat kepada rakyat mengenai kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya berkeyakinan bahawa kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Selangor akan terus maju ke hadapan dengan tekad untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya lagi. – Roketkini.com