Berita

UMNO politikkan pendidikan, Guan Eng dihalang lawat sekolah

GEORGE TOWN, 8 SEPT: Tindakan kerajaan UMNO melalui Kementerian Pendidikan menghalang Lim Guan Eng daripada melawat sebuah sekolah Cina di Sungai Lembu, Bukit Mertajam disifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai mempersenda demokrasi.

Beliau justeru menuntut agar kementerian terbabit menjelaskan tindakannya itu.

“Kenapa jadikan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai mangsa dan membuli ketua menteri, tidak ada logik untuk menghalang kami daripada melawat sekolah itu sedangkan apa yang kita mahu lakukan adalah menyampaikan bantuan kewangan.

“Perlu diingatkan bahawa saya adalah satu-satunya ketua menteri Cina di negara ini, tetapi saya tidak dibenarkan melawat sekolah rendah Cina di negeri saya sendiri walaupun saya telah menulis surat untuk memaklumkannya kepada Kementerian Pendidikan.

“Saya tidak pernah dilakukan sedemikian, sebelum ini, ini mungkin pilihan raya umum semakin dekat,” katanya dipetik Malaysiakini.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, beliau yang sepatutnya mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada sebuah sekolah rendah Cina di Sungai Lembu telah memaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu kepada pihak kementerian.

Bagaimanapun, melalui sepucuk surat yang dikirim Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman pada 6 September lepas memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Bagan itu tidak dibenarkan melawat sekolah berkenaan.

Dalam masa yang sama, Guan Eng turut mempersoalkan mengapa Ketua UMNO bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaid Mohd Said dibenarkan untuk melawat sekolah berkenaan tanpa perlu melalui karenah birokrasi.

“Saya yang dipilih oleh rakyat menjadi Ketua Menteri tidak boleh menyampaikan sumbangan pendidikan, tetapi ada pemimpin UMNO seperti Zaidi boleh masuk sahaja tanpa perlu memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan atau mendapat kelulusan menteri,” luahnya.

Katanya, beliau mengarahkan pegawai kerajaan negeri untuk melawat sendiri keadaan sekolah terbabit bagi tindakan susulan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan UMNO benar-benar boleh menyalurkan bantuan yang secukupnya untuk sekolah berkenaan.

“Jika mereka tidak boleh untuk berbuat demikian, kenapa larang kami daripada masuk ke sekolah berkenaan untuk lihat apa keperluan mereka.

“Kerajaan negeri tidak boleh beri semua dana ekoran kekangan kewangan, tetapi kami boleh beri dana pemulihan (remedial funds) setiap tahun.

“Jika Kementerian Pendidikan tidak boleh menjamin dana yang cukup untuk sekolah Cina, jadi mereka sebenarnya mempolitikkan pendidikan demi kepentingan peribadi,” tegasnya. – Roketkini.com