Berita

DAP ucap takziah atas kemangkatan Sultan Kedah

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: DAP menzahirkan rasa dukacita di atas berita kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan takziahnya, menyifatkan baginda sebagai raja yang berjiwa rakyat.

“Apabila saya mula memasuki Parlimen pada bulan Februari 1971 apabila Parlimen kembali bersidang selepas digantung selama 21 bulan selepas pilihan raya 1969, Sultan Abdul Halim adalah Yang di Pertuan Agong dari 1970 hingga 1975.

“Lebih tiga dekad kemudian, baginda sekali lagi berkhidmat sebagai Yang di Pertuan Agong dari 2011 hingga 2016.

“Sultan Abdul Halim dikenali sebagai raja yang berjiwa rakyat.

“Kemangkatan Sultan Abdul Halim meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat dan negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

Sultan Abdul Halim dilaporkan Utusan Malaysia mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Dilahirkan pada 28 November 1927, Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali pertama pada usia 47 tahun, dan merupakan satu-satunya raja Melayu yang dilantik ke jawatan tersebut sebanyak dua kali.

Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah di Alor Setar sebelum ke Kolej Sultan Abdul Hamid, dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains sosial dan pentadbiran awam di Kolej Wadham, United Kingdom.

Almarhum menaiki takhta negeri Kedah selepas kemangkatan bapanya, Sultan Badlishah, pada tahun 1958. – Roketkini.com