Berita

Bendera Pulau Pinang berkibar separuh tiang bermula hari ini

GEORGE TOWN, 12 SEPT: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Susulan itu, sebagai menghormati kemangkatan almarhum baginda, Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta semua pihak mengibarkan bendera negeri Pulau Pinang separuh tiang selama dua hari berturut-turut bermula hari ini (Selasa).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

“Pertabalan Almarhum Baginda Sultan Kedah sebagai Ketua Negara Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1970 dan 2011 menjadikan Almarhum Baginda Sultan Kedah sangat dekat dan disayangi oleh rakyat jelata.

“Sesungguhnya, kehilangan Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah bukan sahaja dirasai oleh rakyat Negeri Kedah amnya tetapi seluruh rakyat Malaysia khususnya kerana Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah sangat dikenali sebagai seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan penyayang.

“Semoga roh Almarhum Baginda Tuanku Sultan Kedah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan.

Sultan Abdul Halim dilaporkan media mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Dilahirkan pada 28 November 1927, Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali pertama pada usia 47 tahun, dan merupakan satu-satunya raja Melayu yang dilantik ke jawatan tersebut sebanyak dua kali.

Almarhum menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah di Alor Setar sebelum ke Kolej Sultan Abdul Hamid, dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains sosial dan pentadbiran awam di Kolej Wadham, United Kingdom.

Almarhum menaiki takhta negeri Kedah selepas kemangkatan bapanya, Sultan Badlishah, pada tahun 1958. – Roketkini.com.