Berita

Pertemuan Najib-Trump terima publisiti buruk, tidak jejas siasatan DOJ

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu Presiden Donald Trump mendapat publisiti buruk daripada media antarabangsa.

Pertemuan yang dilihat sebagai usaha membersihkan imejnya ekoran pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) terhadap jenayah pengubahan wang haram dalam skandal 1MDB itu, langsung tidak mendapat publisiti positif.

“Segala usaha yang dilakukan untuk menjana gambaran positif dalam lawatan Najib ke Rumah Putih bertemu Presiden Trump nampaknya tenggelam dalam laporan buruk, bukan sahaja di AS tetapi juga seluruh dunia,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, belum pernah lagi berlaku keadaan seperti sekarang di mana Perdana Menteri Malaysia bersungguh-sungguh melabur untuk mendapatkan publisiti untuk lawatannya ke Rumah Putih.

“Tak pernah ada Perdana Menteri Malaysia sepanjang 60 tahun ini berdepan dengan serangan media-media antarabangsa yang telah menimbulkan publisiti buruk di AS dan dunia.

“Kita juga tak pasti adakah Najib mampu menyelamatkan dirinya dan reputasi negara melalui lawatannya ini meskipun kita tahu jentera kempen Najib sudah bersiap sedia untuk memberi gambaran positif terhadap lawatan itu kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang turut menyenaraikan beberapa tajuk utama liputan media antarabangsa, menjelang lawatan Najib ke Rumah Putih.

Antaranya termasuklah, Scandal-hit Malaysian leader Najib to visit White House (Japan Times), “Trump to meet scandal-hit Malaysian leader in September” (Reuters), “With Trump meeting, Malaysia’s PM seeks to put 1MDB scandal behind him” (Reuters) dan “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House” (New York Times).

Dalam pada itu, andaian bahawa pertemuan Najib dan Trump itu akan membersihkan Perdana Menteri daripada dikaitkan dengan siasatan DOJ terhadap 1MDB, ternyata tidak tepat.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders dalam satu sidang medianya berkata siasatan DOJ terhadap skandal 1MDB adalah bebas dan pihaknya tidak akan memberi sebarang komen mengenainya.

Bagi Kit Siang, kunjungan Najib ke AS dan foto-fotonya dengan Trumph tidak akan memberikan  apa-apa kelebihan terhadap segala gelaran kleptokrat yang menghantuinya.

“Malaysia berasa malu apabila gelaran sebagai ‘negara kleptokrasi’ tidak berubah,” katanya lagi. – Roketkini.com

Kredit foto: PMO Malaysia