Berita

P. Pinang tegas pertingkat aspek keselamatan premis tahfiz

GEORGE TOWN, 15 SEPT: Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, kerajaan negeri akan bertindak tegas  terhadap mana-mana pusat tahfiz yang mengabaikan aspek keselamatan.

Jelasnya, tindakan tegas ini diambil demi keselamatan pelajar dan menjaga nama baik institusi pendidikan Islam yang amat menitikberatkan langkah tersebut.

“Di Pulau Pinang,  saya telah mengarahkan aspek keselamatan di Maahad Tahfiz dipertingkatkan lagi.

“Pihak kerajaan Negeri memandang berat pengurusan Maahad Tahfiz yang tidak mengambil berat aspek keselamatan para pelajar.

“Tindakan tegas akan dikenakan  terhadap Maahad Tahfiz yang mengabaikan aspek  ini, termasuk menarik balik kelulusan dan menutup premis mereka,” katanya dalam kenyataan petang semalam.

Sementara itu, Abdul Malik turut merakamkan takziah ekoran tragedi malang sehingga melibatkan kehilangan nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya merakamkan ucapan takziah di atas tragedi hitam yang mengorbankan 25 jiwa anak-anak hafiz kita setakat ini, di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah,” katanya.

Menurut Abdul Malik, tragedi menyayat hati itu telah mengejutkan semua pihak dan telah menambah catatan hitam dalam statistik kebakaran pusat tahfiz negara ini.

“Kita tidak perlu lagi meratapi dan terus bersedih atas tragedi malang itu. Tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, kita yakin anak-anak kita yang lidahnya dibasahi dengan ayat-ayat Allah setiap hari, akan ditempatkan di jannah,” katanya lagi. – Roketkini.com