Berita

Pastikan kepatuhan keselamatan sebelum beri permit operasi tahfiz, pondok

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama kepada maahad tahfiz dan sekolah pondok perlu mengambil kira kepatuhan kepada syarat-syarat keselamatan bangunan kata Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman.

Bagi tujuan itu, pihak berkuasa agama juga disarankan untuk membangunkan senarai maahad tahfiz dan sekolah pondok yang diberikan permit.

Menurutnya, bagi bangunan sedia ada, pihak berkuasa wajib memeriksa bangunan sekolah terutamanya yang mempunyai kemudahan asrama dari pintu ke pintu.

“Saya menyarankan agar semua pihak berkuasa dan agensi kerajaan terutamanya kerajaan tempatan untuk memeriksa dan memastikan semua bangunan sekolah supaya memenuhi dan mematuhi syarat-syarat keselamatan seawal dari perancangan pembangunan,” katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kajang dalam kenyataan.

Beliau yang dikenali juga sebagai Rara turut manzahirkan rasa sedih dan kesal dengan tragedi kebakaran sehingga meragut 27 nyawa pelajar dan penyelia Pusat Darul Quran Ittifaqiyah di Kula Lumpur semalam.

Berdasarkan laporan awal, pusat tahfiz tersebut juga belum mendapat kelulusan pihak berkuasa selain tidak mempunyai peralatan memadam kebakaran.

“Tanpa menidakkan peluang dan pilihan anak-anak untuk belajar pendidikan agama, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan.

“Tanpa menidakkan ganjaran syahid bagi 27 arwah, kehilangan nyawa orang yang tersayang tidak boleh dimaafkan begitu sahaja terutamanya jika ianya disebabkan kecuaian,” katanya lagi.

Tragedi kebakaran melibatkan pusat pengajian agama di negara ini bukanlah kes terpencil sejak tahun 1980 sehingga sekarang.

Pada tahun 1989, negara dikejutkan dengan kebakaran Pondok Pak Ya di Guar Chempedak, Kedah sehingga mengorbankan 27 pelajar. Ia diikuti dengan siri-siri kebakaran institusi pengajian tradisonal tersebut.

Rata-rata punca kebakaran yang dilaporkan adalah litar pintas dan diburukkan lagi dengan ciri-ciri keselamatan yang tidak baik.

Sepanjang dua tahun kebelakangan, beberapa pusat pengajian agama dan tahfiz negara ini terlibat dalam insiden malang tersebut.

Antaranya pusat tahfiz di Penampang, Sabah (4 Mac 2016), Sekolah Menengah Agama As-Siddiqiah, Kuala Nerang, Kedah (Februari 2016), Madrasah Tahfiz Al-Redzuan di Dengkil, Selangor (Januari 2016) dan Sekolah Maahad Tahfiz Jamual Hasanah, Tanjung Karang, Selangor (Ogos 2015). –Roketkini.com

Kredit foto: Sinar Harian Online