Rencana

54 tahun berlalu, kita masih terpisah atas nama bangsa

Lima puluh empat tahun yang lalu, Parlimen Malaysia meluluskan satu rang undang-undang iaitu RUU Malaysia dengan undian 73 menyokong, 15 membantah, hanya kelebihan 3 undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Malaya.

Di Singapura, pemerintah iaitu PAP juga hampir kehilangan sokongan legislatif yang diperlukan untuk menerima Perjanjian Malaysia. Ia diluluskan akhirnya dengan undian 25 menyokong, 7 menentang dan 18 berkecuali. Sementara itu, laporan IGC sangat disokong oleh Dewan Negeri Borneo Utara dan Sarawak.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran, akhirnya pada tengah malam 15 September 1963, sebuah negara baharu lahir dan diberikan nama Persekutuan Malaysia. Seterusnya adalah sejarah termasuklah pengusiran Singapura pada 9 Ogos 1965 sehinggalah ke hari ini.

Sepanjang 54 tahun inilah juga kita terus mengekalkan warisan kolonial British. Rakyat dipecahkan mengikut bangsa. Bukan sahaja dalam struktur sosial malahan sektor ekonomi juga turut terperangkap dengan soal bangsa.

Apabila kita melihat kepada perkembangan perkataan bangsa, ia sebenarnya agak samar-samar. Milner menyatakan bangsa Melayu ini adalah satu konsep yang telah dicipta pada abad ke 19.

Orang Melayu dahulu tidak mempelopori idea mengkelaskan orang mengikut bangsa sebelum kedatangan penjajah dari Eropah. Sebagai contoh, dalam sejarah Kesultanan Melayu yang terkandung dalam buku Sejarah Melayu atau Malay Annals, perkataan bangsa hanya digunakan sekali sahaja (Milner 2007, p.85).

Dua buah buku teks yang dibaca secara meluas oleh pelajar British Malaya, Hikayat Abdullah dan Hikayat Dunia, yang telah dikaji oleh Milner dalam kajiannya Invention of Politics in Colonial Malaya, telah memberikan idea bagaimana British mewujudkan sistem pendidikan yang memainkan peranan dalam mempopularkan konsep bangsa.

Analisis mendalam Milner terhadap dua hikayat ini menunjukkan bahawa asal usul idea bangsa ini sebagai Negara-Bangsa, di mana Negara-Bangsa merujuk kepada unit-unit politik dalam sesuatu wilayah dan manusia pula difahami sebagai anggota kepada Negara-Bangsa dan mempunyai pelbagai bangsa.

Manakala Hirschman pula menyatakan bahawa tanggapan kaum, satu percubaan untuk membezakan manusia secara biologi, telah dibawa ke Malaysia oleh pentadbiran kolonial British.

Pandangan Hirschman ini adalah berdasarkan kajian beliau terhadap kaedah bancian yang telah dibuat pada abad ke 19. Perkataan kewarganegaraan yang digunapakai dalam bancian sebelum itu telah ditukar kepada perkataan bangsa kerana terma tersebut dikatakan lebih luas dan ungkapan yang lebih lengkap berbanding kewarganegaraan.

Teori berbilang bangsa ini adalah refleks kepada tahap kemajuan yang berbeda atau peringkat-peringkat evolusi. Teori ini memberikan legitimasi kepada British untuk menjustifikasikan penguasaan kolonialnya sebagai bangsa yang unggul. Perubahan dalam kategori bancian ini adalah kesan kepada perubahan dalam kepercayaan perkauman di Eropah dan peranan penjajahan mereka.

Dari mana kita datang

Singkap semula sejarah pergerakan manusia di rantau ini, pada abad ke 14, orang Minangkabau dari Sumatera Barat berhijrah beramai-ramai ke Negeri Sembilan. Orang Bugis dari Sulawesi Selatan datang ke Tanah Melayu dan menetap di Selangor, Perak dan Johor.

Tetapi, pergerakan masuk manusia lebih signifikan pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Orang Jawa berhijrah untuk bekerja sebagai buruh di ladang kopi, ladang getah dan lombong bijih timah. Penghijrahan orang China lebih aktif pada zaman tersebut kerana penaklukan kuasa Barat telah memusnahkan struktur ekonomi tradisional, dan ini telah menyebabkan pengangguran, kemarau, penderitaan rakyat dan keadaan politik yang huru-hara.

Begitu juga dengan orang India kerana banyak tanah-tanah di India telah dijadikan ladang kapas untuk kilang kain di Britain. Kerana itulah, mereka kekurangan tanah untuk menanam bahan makanan dan mereka sering mengalami kebuluran.

Orang India sebenarnya mula datang ke Tanah Melayu pada abad pertama tetapi sebagai pedagang. Kerana itulah, rantau ini lebih mendapat pengaruh Hindu dan Buddha seperti kewujudan Kerajaan Kedah Tua dan Lembah Bujang, Parameswara yang merupakan seorang putera Hindu sebelum memeluk Islam kemudiannya, dan sebagainya.

Pentadbiran kolonial British telah memanfaatkan sistem politik tempatan untuk pengurusan kolonial mereka dan memperkembangkan sikap paternalistik terhadap Melayu, sebagai seorang ayah kepada anaknya. Orang Melayu diwajahkan sebagai jinak, setia dan orang yang tidak boleh berdikari, yang lemah kemampuan intelektual, dan stereotaip ketakutan dan kemalasan orang Melayu.

Bagi orang Cina pula, British melihat mereka sebagai orang yang lebih rajin dan berkebolehan, dan menyemai rasa takut dan kebencian terhadap orang Cina yang disifatkan sebagai pencuri, yang boleh mengancam ekonomi British. Orang India pula dianggap sebagai buruh yang murah dan jinak, lebih mudah untuk dikawal berbanding orang Cina, dan mereka ini diperlukan untuk memenuhi kekurangan pekerja di ladang-ladang.

Menurut Syed Hussein Alatas, stereotaip kumpulan tiga bangsa ini adalah kesan daripada peluasan aktiviti ekonomi kapitalis bandar yang dikawal oleh pihak kolonial. Sebagai petani, orang Melayu tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi kapitalis kolonial manakala orang Cina dan India menjadi buruh untuk menyokong kapitalisme kolonial. Penggunaan konsep bangsa terhadap populasi tempatan telah mewujudkan satu stereotaip populasi tempatan berdasarkan kepada persepsi kolonial sebagai ciri-ciri biologi yang ditentukan oleh penduduk setempat.

Farish A. Noor menyatakan banyak kerajaan di Afrika dan Asia termasuk Malaysia yang meraih kemerdekaan daripada kekuasaan kolonial terperangkap dan kembali kepada pemerintahan neo-kolonial yang represif dengan mengekalkan sistem dan peraturan kolonial.

Terdapat hujah yang mengatakan sistem kasta di India dan perkataan kasta itu sendiri dicipta semasa abad ke 20, dihujung zaman pemerintahan kolonial British. Sebelum zaman tersebut, tidak wujud konsep kasta.

Pemakaian konsep bangsa ke dalam stratifikasi sosial tradisional telah memberikan orang yang berkasta tinggi dan elitis banyak manfaat. Mereka boleh mengesahkan penguasaan dan keistimewaan mereka berbanding orang yang berkasta rendah. Hujah yang sama juga boleh digunapakai dalam kes Malaysia.

Hierarki etnik ini telah berjaya diwujudkan di Malaysia, dan hubungan etnik yang terpisah ini akan mengekalkan hierarki sosial yang jumud berdasarkan kepada perbedaan bangsa seperti sistem kasta. Konsep bangsa telah melebarkan perbezaan dalam kalangan penduduk, dan menjadi alat untuk memecahkan rakyat. Kewujudan konsep bangsa tajaan kolonial selepas kemerdekaan Malaysia bukanlah satu kemajuan yang semulajadi yang lahir dengan kepelbagaian etnik tetapi terhasil daripada niat politik semata-mata.

Isu bangsa dan agama ini memang berkait rapat. Tiga kumpulan etnik terbesar juga mempunyai kepercayaan yang berbeza. Melayu adalah Muslim, sementara Cina dan India pula mengamalkan Buddhisme, Kristianiti, Hinduisme, Sikhisme dan Islam. Seperti juga bangsa, agama sering digunakan untuk lebih memisahkan rakyat.

Sejauh mana kita telah pergi

Lama sebelum ini, rakyat boleh menikmati makanan dan minuman di kedai-kedai yang berbilang etnik. Masih ingatkah lagi kepada kopitiam-kopitiam yang pembuat air adalah orang Cina manakala orang Melayu menjual makanan. Di Muar masih terdapat beberapa restoran satay dan mee bandung yang mempertahankan konsep perkongsian begini.

Orang Melayu juga tidak mempunyai banyak larangan atau tegahan untuk menikmati juadah di rumah orang bukan Melayu sebelum ini. Tapi sekarang, orang Melayu telah menjadi begitu sensitif mengenai perkara ini.

Ingatkah kita pada insiden Plaza Low Yat . Bagaimana kes kecurian telah dimanipulasi untuk meniup sentimen dan permusuhan di kalangan Melayu dan Cina? Ingat lagi apa yang berlaku di Taman Medan dahulu, hanya kerana kegagalan kita untuk memahami cara hidup dan budaya satu sama lain, keharmonian negara terjejas.

Sebuah negara yang telah melaksanakan pelbagai siri perpaduan nasional dan projek-projek integrasi seperti pengenalan Rukun Negara, dan konsep 1Malaysia di bawah pemerintahan Najib Razak tetapi masih mengekalkan konsep ketuanan bangsa dan memisahkan rakyatnya mengikut bangsa.

Membuat slogan demi slogan sahaja tidak mencukupi. Dasar yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat mestilah dilaksanakan merentasi semua cabang kehidupan. Untuk melaksanakan ini, Malaysia sangat memerlukan seorang pemimpin yang cekal dan berani. Pemimpin begini akan mengetengahkan idea perpaduan dan mencipta satu identiti kebangsaan yang terpakai kepada seluruh rakyat – satu identiti yang akan mengikat kebersamaan rakyatnya di masa hadapan.

Penolakan rakyat Malaysia untuk mengetepikan pertimbangan kaum daripada kesedaran mereka adalah penyebab kegagalan kita untuk mengangkatkan isu nasional yang penting secara kritikal. Jom kita lihat negara ini daripada kacamata ekonomi semata-mata. Jom kita lihat negara ini daripada kacamata kehakiman dan institusi lain semata-mata. Apa yang dapat kita lihat?

Kita tidak pernah benar-benar melihat isu ini secara kritikal. Kita selalu melihat melalui jendela mengekalkan hak Melayu atau kepentingan orang Cina dan India. Kita tidak bercakap mengenai sesuatu isu sebagai orang Malaysia. Kita tidak melihat sebagai orang Malaysia.

Politikus dan rakyat di Malaysia masih lagi tidak mencapai kematangan dalam membuat keputusan yang betul berlandaskan kepada kepentingan nasional.

Dalam hal ekonomi pula, banyak dasar afirmatif telah dilaksanakan untuk merapatkan kesenjangan antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Tetapi kesemua dasar itu masih tidak mencapai sasarannya.

Skim-skim ini telah melahirkan kelompok rent-seeker yang memanipulasi skim ini untuk kepentingan dan meraih kekayaan peribadi. Segala bentuk bantuan perniagaan, skim rumah bumiputera, tanah rezab Melayu sehinggakan kepada sistem pendidikan dan pemberian biasiswa pendidikan terdedah kepada kegiatan rent-seeking ini.

Cita-cita untuk menambahbaik kehidupan rakyat yang memerlukan adalah sangat baik. Tetapi dengan mengkelaskan mereka mengikut kaum adalah satu kesilapan.

Ia akan membenarkan ketidakseimbangan dalam manfaat tindakan afirmatif kerana turut membenarkan orang Melayu yang kaya raya menerima manfaat besar, termasuklah mereka yang mampu untuk membeli saham-saham yang telah diperuntukkan kepada mereka semasa IPO, sebagai contoh, atau membida projek-projek Kerajaan yang telah direzabkan kepada mereka.

Manakala, bagi rakyat bukan Bumiputera, ramai yang memilih untuk berkelana apabila pelbagai cabang dalam Negara ini sudah semakin susut nilai meritokrasinya. Migrasi keluar rakyat-rakyat tempatan yang berkelulusan profesional telah menyebabkan berlakunya situasi brain drain yang ketara dalam Negara ini. Masalah brain drain ini diakui oleh Pemerintah sendiri apabila menubuhkan Talent Corp semenjak 2011 lagi.

Memandang ke hadapan

Laporan Bank Dunia pada tahun 2010 menganggarkan lebih kurang satu juta rakyat Malaysia telah meninggalkan Negara ini dengan satu-per-tiga daripadanya adalah mereka yang berpendidikan tinggi dan majoritinya adalah orang Cina dan India.

Satu dasar yang pada asalnya bertujuan untuk mengelakkan ketegangan etnik telah mewujudkan satu budaya kebergantungan dalam diri orang Melayu dan Bumiputera.

Ramai orang Melayu yang susah menyokong dan mengundi UMNO, parti Melayu yang memperkenalkan tindakan-tindakan afirmatif pada zaman 70-an dan telah mendominasi Kerajaan semenjak selepas Merdeka lagi, kerana takut dan bimbang parti-parti lain akan menghapuskan keistimewaan mereka.

Dengan taklid buta begini, pemimpin UMNO dapat kekal bertahan walaupun mereka telah melakukan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang serius, seperti skandal 1MDB, jabatan-jabatan yang kehilangan ratusan juta ringgit di mana kebanyakannya masuk ke dalam kocek pegawai dan pemimpin, penipuan kuota harta tanah Bumiputera dan Rumah Mampu Milik, dan sebagainya.

Sebenarnya, apabila kita bercakap untuk melakukan tindakan afirmatif, kita tidak perlu menyempitkannya kepada asas kaum sahaja. Ia sebenarnya lebih efisien kepada perbelanjaan Kerajaan dan ekonomi Negara, kurang berbahaya kepada hubungan antara etnik, dan menyediakan bantuan dan manfaat berasaskan kepada pendapatan.

Orang Melayu dan Bumiputera tetap akan menjadi kelompok penerima yang ramai kerana selain daripada peratusan demografi yang tinggi tetapi juga pendapatan mereka yang masih rendah. Ini juga dapat membuka jalan kepada sistem politik yang lebih konstruktif dan halus. Mungkin sebab inilah juga mengapa UMNO terus menerus menolak idea begini, takut kehilangan tapak sokongan politik.

Agama, manipulasi politik dan polisi keutamaan etnik akan terus melebarkan pembahagian budaya di kalangan kumpulan etnik di Malaysia dan boleh menghalang peluang Negara ini untuk bersatu di dalam dekad yang akan datang.

Tidak kira apa slogan kita nanti, apa polisi kita nanti, Wawasan 2020 atau TN50, kesatuan dan perpaduan mutlak sesama rakyat tidak dapat kita realisasikan. Usaha tersebut hanyalah satu usaha memperbaharui slogan semata-mata tanpa mempunyai ramuan dan strategi. Ia adalah satu projek yang gah pada awalnya tetapi akan berakhir dengan rengekan kecil.

Retorik perkauman adalah merupakan karakter politik di Negara berbagai etnik dan agama ini semenjak merdeka daripada penjajahan British 60 tahun yang lalu dan pilihanraya umum yang akan datang akan turut mengikut corak yang sama. Parti-parti politik di kedua-dua belah pihak terarah kepada memenuhi agenda Melayu, memenangi undi di kawasan majoriti Melayu.

Najib semasa ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun 2016 telah berkata bahawa kempen pilihanraya umum akan datang adalah “perang kewujudan” antara partinya yang pro-Melayu dan sekutunya, melawan parti pembangkang yang diketuai oleh DAP yang telah difitnah teruk setiap hari sebagai anti-Melayu, anti-Muslim dan sebuah parti Cina.

Di Johor ini, telah wujud secara literal sebuah konsep penyatuan rakyat tanpa mengira bangsa dipanggil Bangsa Johor. Tetapi secara realitinya, masyarakat masih lagi belum benar-benar menghadam konsep tersebut. Konsep pemecahan identiti mengikut bangsa masih lagi menjadi pilihan majoriti masyarakat.

Walaupun kita baharu sahaja menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60 dan hari ini kita menyambut ulangtahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke 54, tetapi masyarakat Malaysia masih lagi menderita kesan sisa-sisa ideologi perkauman dan ketuanan bangsa. Bilakah agaknya kita akan berasa yakin dan tanpa ragu-ragu untuk tegas menyatakan bahawa kita adalah anak bangsa Malaysia?

Selamat Hari Ulangtahun Penubuhan Persekutuan Malaysia Yang Ke Lima Puluh Empat. – Roketkini.com

*Ahmad Anwar Asyraf merupakan Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Johor