Berita

Isu tanah MCA: DAP alu-alukan ugutan saman Mei Fun

PETALING JAYA, 19 SEPT: Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun hari ini mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Ia ekoran pendedahan DAP sebelum ini tentang ‘skandal’ pembelian tanah sepanjang Sg Kayu Ara dan Kampung Chempaka yang berlaku antara tahun 2006 – 2008 di Selangor melibatkan peranan yang dimainkan pemimpin MCA itu dalam urusniaga berkenaan.

Dalam urusniaga tersebut, tanah berkeluasan satu ekar itu telah dijual kepada MCA dengan harga RM1 bagi setiap kaki persegi atau berjumlah RM52,000, berbeza dengan nilai pasaran yang dianggarkan iaitu RM400 bagi setiap kaki persegi atau sekitar RM17.5 milion.

‘Mengalu-alukan’ ugutan Mei Fun yang juga bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, Tony Pua dan Bee Yin dalam satu kenyataan berkata pemimpin MCA tersebut bebas untuk meneruskan tindakannya.

“Datin Paduka Chew Mei Fun bebas untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada salah seorang atau kedua-dua kami terhadap komen kami mengenai skandal tanah itu,” kata mereka.

Pendedahan sebelum ini menyatakan urusniaga tanah berkenaan telah menyebabkan MCA mendapat keuntungan besar, dalam masa yang sama telah merugikan rakyat serta kerajaan negeri.

Apa yang berlaku, peneroka bandar yang menduduki tanah berkenaan secara haram juga telah menjadi mangsa pengusiran oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Selain itu, MCA juga telah memohon supaya tanah yang berada dalam zon sungai (water body) dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) itu ditukarkan kepada zon komersil dan perkhidmatan.

Menurut Tony dan Bee Yin, jika pemimpin MCA itu benar-benar mementingkan reputasinya dan mahu menawan hati rakyat, beliau wajar membuat keputusan memulangkan semua lot tanah yang dimiliki MCA Selangor kepada kerajaan negeri atau sekurang-kurangnya membayar premiaum tanah.

Kenyataan itu turut membangkitkan empat persoalan penting mengenai peranan pemimpin MCA tersebut.

“Apakah peranan yang dimainkan Datin Paduka Chew, sama ada secara langsung atau tidak dalam usaha mendapatkan tanah tersebut?

“Adakah Chew pernah membantah atau dalam beberapa keadaan cuba untuk menghentikan permohonan MCA untuk mendapatkan tanah tersebut – dalam keadaan beliau mengetahui tentang transaksi terbabit?

“Adakah beliau sebagai salah seorang pemimpin senior MCA percaya bahawa rampasan tanah terbabit adalah beretika dan tidak melanggar kepercayaan yang telah diberikan rakyat kepadanya dan parti?” soal mereka. – Roketkini.com

Kredit Foto: Anabelle Lee