Berita

Pesta arak jadi alat serang DAP, PKR

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Isu penganjuran festival ‘Better Beer’ telah dijadikan senjata politik untuk menyerang DAP dan PKR tanpa membincangkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang penganjuran festival itu yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Oktober hadapan.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berpandangan, isu ini perlu ditangani menerusi ruang perbincangan yang rasional, tidak emosi dan menghormati kepelbagaian budaya negara ini.

“Sebagai seorang warganegara yang mendukung hak bersuara dan hak untuk berbeza pendapat, saya secara peribadi tidak menyokong penganjuran Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan diadakan di sebuah kawasan hipster kelas menengah di Kuala Lumpur dengan promosi besar-besaran.

“Apatah lagi bagi saya seorang Muslim, gandingan istilah ‘pesta’ dan ‘arak’ memberi konotasi yang negatif,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, DBKL perlu mengadakan sesi perbincangan dan penerangan sebelum mengambil sebarang tindakan kerana sikap sedemikian amat penting demi memupuk perpaduan dalam masyarakat berbilang pandangan dan kebudayaan.

Perkara ini katanya boleh diselesaikan melalui semangat saling-menghormati asalkan tiada pihak yang sengaja menyemai kebencian dan prejudis.

“Jika kita gagal mengamalkan toleransi, kita akan turut gagal memupuk perpaduan.

“Lebih malang jika pihak berkuasa tempatan yang dibiayai wang cukai rakyat pelbagai agama dan bangsa dilihat berat sebelah dan gagal menjalankan tugas mengambil kira kepentingan pelbagai pihak secara rasional dan professional,” katanya.

Bagi Sheikh Omar, dalam sebuah negara demokrasi, pandangan yang berbeza tidak wajar disekat.

“Ia perlu disantuni dengan penuh berhemah. Isu seperti ini perlu ditangani menerusi ruang diskusi yang rasional, tidak emosi dan menghormati kepercayaan serta kepelbagaian budaya di negara kita,” katanya.

Apa yang penting tambah beliau, isu ini amat tidak wajar dijadikan alat untuk menunjukkan ‘siapa lebih juara’ sebaliknya perlu dilihat dari pelbagai aspek yang memerlukan pendekatan profesional termasuk dari kacamata undang-undang tempatan dan sebagainya.

“Sebarang bentuk tindakan memanipulasi isu ini untuk menjolok sensitiviti di kalangan rakyat bagi mencapai kepentingan tertentu samada oleh individu mahupun mana-mana parti politik adalah tidak wajar sama sekali dan perlu dihentikan segera,” katanya lagi. –Roketkini.com