Berita

Mana baki RM1.1 bilion projek tebatan banjir kerajaan persekutuan di P. Pinang?

GEORGE TOWN, 20 SEPT: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan 33 projek kecemasan bagi memperbaiki longkang dan sistem perparitan negeri itu bernilai RM2.5 juta.

“Kerajaan Negeri tidak akan mencari alasan, tidak akan elak, tidak akan sembunyi dan tidak akan lari daripada tugas dan tanggungjawab untuk berdepan dengan  masalah banjir serius ini.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) juga telah menerima cadangan Ahli MMK Tebatan Banjir, YB Chow Kon Yeow untuk segera menjalankan 33 projek-projek kerja kecemasan bagi mengorek dan memperbaiki longkang dan perparitan yang rosak sebanyak RM2.5 juta bagi seluruh Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek kecemasan itu kata Guan Eng termasuk kerja-kerja memperbaiki tanah runtuh di Taman Setia Green di Sungai Ara; Kondominium Green Lane Park di Solok Tembaga di Seri Delima dan Pangsapuri Kayangan Putri Mutiara di Medan Fettes di Tanjung Tokong yang menelan perbelanjaan lebih RM2 juta.

Kerajaan Negeri juga katanya telah meluluskan langkah serampang dua mata iaitu menyiapkan dan meneruskan projek-projek tebatan banjir di bawah Kerajaan Negeri dan agensinya sebanyak RM405 juta.

Dalam masa yang sama, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menjalankan projek tebatan banjir dengan lebih cepat, khususnya projek tebatan banjir bernilai RM1.4 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Apa yang menjadi persoalan kata Guan Eng, hanya RM300 juta kos projek dibelanjakan manakala baki RM1.1 bilion menjadi tanda tanya.

“Perlu dinyatakan bahawa dengan hujan selebat ini akibat tempias besar Taufan Doksuri, apa-apa Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sudah siap (termasuk RTB Sungai Pinang) tidak akan menghalang berlakunya banjir tetapi siapnya RTB  ini akan mengurangkan kesan buruk dan negatif banjir ini.

“Oleh itu RTB Kerajaan Persekutuan khususnya RTB Sungai Pinang harus dimulakan dengan segera,” katanya lagi. –Roketkini.com