Berita

DAP Kelantan sangkal tuduhan ‘kristiankan’ Orang Asli DUN Galas

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: DAP Kelantan hari ini menyelar tuduhan liar pemimpin UMNO dan pengikutnya yang mendakwa DAP kononnya mahu mengkristiankan masyarakat Orang Asli di Gua Musang dengan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘takut kepada bayang-bayangnya sendiri’, Penyelaras Impian Kelantan, Mohd Fauzi Mohd Azmi menegaskan bahawa DAP tidak pernah sama sekali menganjurkan sebarang program yang berunsur Kristianiti seperti yang didakwa.

“Penglibatan DAP di Gua Musang sebelum ini bermula selepas tsunami pada 2014 dan seterusnya mula aktif membela masyarakat Orang Asli di kawasan itu dalam isu pembalakan melampau bermula pada Oktober 2016 sehingga sekarang.

“Sepanjang penglibatan kami dengan Orang Asli di Gua Musang, DAP tidak pernah menganjurkan apa-apa program berkaitan kristianisasi di kawasan Orang Asli di seluruh Gua Musang bahkan di pinggir bandar mahupun di pedalaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, DAP juga giat membantu lebih 100 keluarga yang kesemuanya adalah beragama Islam di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang dan menegaskan tidak seorang pun daripada keluarga tersebut menukar agama mereka.

“Sehingga ke hari ini, tiada satu keluarga pun atau seorang pun daripada penduduk Kampung Pasir Tumboh bertukar agama ke agama Kristian.

“Malah tiada seorangpun kumpulan penyebar agama Kristian pernah di bawa masuk (oleh DAP dan Impian Kelantan) ke Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas tohmahan yang dilemparkan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof dan pensyarah pro-UMNO, Dr Kamaruzaman Abdullah yang mendakwa DAP kononnya mahu membawa agenda Kristianiti ke dalam masyarakat Orang Asli di DUN Galas.

Fauzi yang juga Pengerusi DAP Suara Muda berkata, perjuangan DAP tidak terhad terhadap kepentingan sesuatu kaum dan agama sepertimana PAS dan UMNO.

“Untuk perhatian umum, perjuangan DAP bukanlah seperti Parti PAS dan UMNO-BN yang menjadikan agama dan bangsa sebagai ‘kosmetik’ dalam perjuangan mereka bagi mendapatkan sokongan dan undi.

“Malah, keahlian DAP juga tidak dihadkan pada sesuatu bangsa atau agama sahaja, malah dibuka kepada seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama mereka,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar berhenti menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Kalau anda rasa sokongan kepada anda atau parti anda semakin merudum, carilah di mana kelemahan anda, bertanggungjawabkah anda sebagai wakil rakyat kepada mereka yang mengundi anda,” ujarnya. – Roketkini.com