Berita

MAIWP tidak boleh lepas tangan tragedi pusat tahfiz terbakar, kata peguam

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 27 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di ibu negara baru-baru terus menimbulkan pelbagai persoalan lain.

Meski wujud unsur jenayah, aspek keselamatan bangunan itu juga dilihat sebagai elemen yang turut menyumbang kepada kejadian tersebut.

Justeru, adakah wajar pengurusan tahfiz dan pihak berkuasa yang berkaitan boleh ‘melepaskan diri’ hanya kerana tragedi itu mempunyai unsur khianat dan jenayah; soal peguam Zulhazmi Shariff dalam kenyataannya hari ini.

Lebih-lebih lagi apabila Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengeluarkan kenyataan rasmi pada 15 September lalu menyatakan agensi itu tidak terlibat dalam pengurusan pusat tahfiz tersebut.

MAIWP dalam kenyataan rasmi itu juga tidak menyatakan status milikan bangunan dan tanah tapak tahfiz itu dan hanya menyatakan tentang pengurusan.

Merujuk kepada laporan media, bangunan tahfiz itu berada di bawah bidang kuasa MAIWP setelah diserahkan oleh pemilik asal sebagai wakaf.

“Pusat tahfiz tersebut diuruskan sepenuhnya oleh pengurusan tahfiz DQI. Walaupun begitu, DQI juga merupakan salah satu pusat tahfiz yang menerima bantuan zakat dari MAIWP di bawah skim Bantuan Kepada Agensi Bukan Kerajaan (NGO).

“Persoalannya, siapakah pemilik bangunan tersebut? Siapa yang membina bangunan tersebut? Siapa yang meluluskan pembinaan bangunan tersebut yang tidak sempurna dari aspek keselamatan?” soal Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah itu.

Tambahan pula Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar dalam kenyataannya sebelum ini menyebut bahawa tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.

‘MAIWP jangan lepas tangan’

Malah, pelan struktur bangunan yang dihantar kepada pihak berkuasa berlainan dengan struktur asalnya.

“Jika pelan struktur bangunan tidak sama dengan struktur asal, apa tindakan yang diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

“Jika tahfiz beroperasi tanpa permit, bagaimana MAIWP boleh terus menerus memberikan peruntukkan zakat?” soalnya lagi.

Tegasnya, sebagai pihak berkuasa, MAIWP yang memberikan bantuan kewangan berkala dan turut menyumbang kepada pembinaan bangunan baru seharusnya mengambil tanggungjawab bersama.

“MAIWP memberikan bantuan kewangan tetapi bagaimana perbelanjaan digunakan tidak diambil endah oleh MAIWP.

“Adakah MAIWP meminta butiran perbelanjaan dari wang bantuan zakat yang diberikan? Ke mana dibelanjakan, untuk apa dibelanjakan?” soalnya.

Katanya, MAIWP yang menggunakan peruntukkan zakat sebagai sumbangan kepada tahfiz tersebut sewajarnya lebih bertanggungjawab dan tegas dengan pengurusan tahfiz dan bukannya mengelak dan berlepas diri dengan kenyataan “Kami tidak terlibat dalam pengurusan”.

“Saya memohon pengurusan MAIWP khususnya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan yang kukuh berkaitan isu-isu ini,” katanya.

Tambah beliau, jika pengurusan agensi agama yang melibatkan kewangan tidak telus dan berhemah, apa lagi yang masyarakat hendak harapkan. – Roketkini.com