Berita

DAP turun padang, dengar keluh kesah masyarakat Manggatal

KOTA KINABALU, 27 SEPT: Rata-rata masyarakat yang ditemui sekitar tamu Pekan Manggatal dekat sini mengeluh akibat kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga minyak selain isu perparitan dan banjir kilat yang sering berlaku di pekan itu.

Tan Lee Fatt, Penolong Setiausaha DAP Sabah

Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt berkata demikian ketika membuat tinjauan dan temu mesra bersama masyarakat sekitar.

Katanya, ramai  kalangan mereka mengadu dan meluahkan rasa kurang selesa dengan keadaan itu.

“Antara faktor yang menjadi punca kenaikan kos sara hidup adalah akibat penghapusan subsidi minyak petrol dan diesel serta pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan sejak tahun 2014.

“Ini termasuk akibat pembaziran dan penyalahgunaan wang rakyat oleh kepimpinan negara. Kita boleh lihat sendiri melalui isu yang timbul seperti skandal mega 1MDB dan sebelum itu kita juga pernah dikejutkan dengan skandal kapal selam Scorpene bernilai RM 7.3 billion,” katanya.

Semua ketirisan dana negara tersebut ujarnya menyumbang kepada pembaziran dan akhirnya menjejaskan rakyat.

“Apa yang paling dikesali apabila rakyat menjadi mangsa keadaan apabila timbul masalah kewangan negara,” kata Tan.

Program temu mesra dan tinjauan DAP Sabah itu dilakukan secara berkala. Selain membuat tinjauan, sukarelawan turut mengedarkan akhbar The Rocket.

Pekan Manggatal terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di bawah Parlimen Kota Kinabalu.

Dalam pilihan raya umum lalu, DUN Inanam menyaksikan calon dari PKR Roland Chia Ming Shen menewaskan dua lawannya mewakili BN-PBS (Joseph Paulus Lantip) dan SAPP (Eric Majimbun) dengan majoriti 3,202 undi. – Roketkini.com