Berita

MBSA selesaikan masalah sampah, kekecohan di Bukit Subang selesai

SHAH ALAM, 27 SEPT: Video tular kekecohan di tapak pelupusan sampah haram di U16 Bukit Subang baru-baru ini bukan isu perkauman atau agama sebaliknya isu alam sekitar dan kebersihan tegas Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer.

Menurut Shakir, kekecohan itu timbul setelah penduduk melakukan protes di kawasan berkenaan kerana tidak berpuas hati kepada operator pusat pelupusan sampah haram berkenaan.

“Tujuan protes dilakukan oleh penduduk adalah untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pihak operator tanah pelupusan sampah haram yang tidak bertanggungjawab yang mencemari kawasan Bukit Subang.

“Saya bersolidariti bersama penduduk dalam isu ini kerana adalah hak mereka untuk berhimpun secara aman jika mereka tidak berpuas hati,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menempelak tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggambarkan isu tersebut sebagai isu perkauman di mana ada kuil hindu turut didirikan tanpa kebenaran di kawasan itu.

“Harus diingati bahawa isu ini adalah isu alam sekitar dan pembersihan dan bukan isu perkauman atau agama. Penduduk di sini yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam, semua adalah seperti satu keluarga besar,” katanya.

Penduduk katanya mendesak supaya tapak yang telah menjalankan aktivitinya sejak 2008 ditutup bagi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat setempat terjaga.

Ini kerana operasi pusat pelupusan haram berkenaan telah mengundang pelbagai masalah, antaranya pembakaran terbuka yang mengakibatkan penduduk terpaksa menghidu bau asap selama lebih kurang dua minggu.

Katanya, kawasan itu turut menyaksikan kemunculan banyak anjing liar yang berkeliaran dan dilaporkan turut mengganggu anak-anak penduduk terutama pada waktu pulang dari sekolah.

“Dikhuatiri anjing-anjing liar ini akan lebih agresif dan menyerang atau menggigit pada masa akan datang. Ia turut menyelongkar tong sampah, masuk ke dalam surau, naik ke tingkat atas pangsapuri. Dianggarkan terdapat sebanyak 50 ekor anjing liar,” kata Shakir.

Hasil Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Tapak Pembuangan Sampah Haram yang diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam telah membincangkan tindakan susulan untuk mencari jalan penyelesaian.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut adalah agensi-agensi yang berkaitan seperti TNB, Sime Darby, PDRM dan Pejabat Tanah Daerah Petaling.

“Hasil mesyuarat memutuskan bahawa satu tindakan pembersihan bersepadu terhadap kawasan tersebut akan dilakukan dalam masa 14 hari daripada tarikh hari ini (26/9/2017),” katanya lagi.

Aktiviti haram di tapak berkenaan berkeluasan kira-kira 1.5 ekar beroperasi berhampiran kawasan kediaman di cerun bukit yang memisahkan kawasan Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Teratai yang didiami sekitar 2,500 orang.

Ia juga terletak di kawasan di bawah talian penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB). – Roketkini.com