Berita

Musuh rakyat di Selangor ialah BN, bukan PAS

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Beberapa perkara perlu dilakukan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan kemenangan mereka di Selangor dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) meskipun terpaksa berdepan pertandingan tiga penjuru melibatkan PAS.

Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, perkara itu termasuklah menerangkan kepada pengundi bahawa HARAPAN tidak akan bersama-sama PAS untuk memerintah Selangor jika gabungan berkenaan berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.

“Ini akan mewujudkan garis yang jelas bahawa pengundi pro-pembangkang perlu memilih HARAPAN dan bukan PAS, lebih-lebih lagi jika mereka tidak mahu Barisan Nasional (BN) menawan semula kerajaan negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Serdang, HARAPAN perlu berterusan memujuk pengundi yang simpati terhadap PAS serta pengundi atas pagar untuk terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan Selangor dalam PRU-14.

“Kebanyakan pengundi yang memilih PAS dalam PRU-13, khususnya pengundi Melayu, boleh dipujuk untuk menukar undi mereka ke parti komponen HARAPAN dengan dasar bahawa HARAPAN boleh membentuk kerajaan di Selangor dan Putrajaya,” ujarnya.

HARAPAN juga, kata Kian Ming, harus menumpukan segala usaha bagi membezakan gabungan itu dengan BN serta tidak berterusan dan terlalu obses menyerang PAS – suatu tindakan yang dianggapnya menjarakkan HARAPAN dengan simpatisan PAS.

“Akhirnya, dengan populariti Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, tidak ada sebab mengapa beliau tidak boleh memimpin HARAPAN untuk mencapai kemenangan yang menyakinkan dalam PRU-14 meskipun terpaksa berdepan PAS dan BN di dua kerusi yang disandangnya di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa,” ujarnya. – Roketkini.com