Berita

Kerajaan perlu wujudkan undang-undang hukum penyiasat cuai, tak beretika

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Kecekapan dan etika kerja pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan jenayah dipersoal berikutan pembebasan aktivis anti-jenayah, Datuk R Sri Sanjeevan daripada tuduhan menghina mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa membebaskan Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) itu selepas pihak pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwa raya gagal membuktikan bahawa Sanjeevan adalah pemilik akaun Facebook yang didakwa mengeluarkan kenyataan “Khalid, are you an idiot?” dalam kemaskini statusnya.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, kegagalan pihak berkuasa mendakwa Sanjeevan telah ‘membuka kotak Pandora’ tentang cara siasatan jenayah dijalankan di negara ini.

“Pertama sekali, adakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memutuskan secara sah bahawa akaun terlibat adalah akaun Sanjeevan? Atau adakah SKMM langsung tidak pasti?

“Selain SKMM, apakah wujud sebarang siasatan polis untuk memutuskan siapa pemilik akaun Facebook terbabit? Akhir sekali, adakah Jabatan Peguam Negara telah terkeliru dengan siasatan sehingga boleh mendakwa Sanjeevan?” soalnya.

Katanya, pendakwaan secara salah yang disebabkan oleh siasatan sambil lewa pihak berkuasa akan merugikan masa dan wang mangsa.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa-mangsa tidak bersalah tidak mempunyai sebarang pilihan tindakan terhadap sesiapa pun.

“Ini termasuk kerugian melibatkan yuran guaman, masa yang telah dibazirkan untuk turun naik mahkamah, masa yang terbazir di dalam lokap selain aib yang ditanggung, setelah berjaya melawan pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadap mereka.

“Lebih teruk lagi, merekalah yang terpaksa menanggung kos guaman sekiranya pihak pendakwa raya berhasrat untuk merayu keputusan mahkamah,” ujarnya sambil mempersoalkan sama ada pihak berkuasa akan menyiasat laporan palsu yang dibuat terhadap Sanjeevan.

Tambah Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu, lebih ramai orang akan ditangkap dan didakwa secara salah jika pegawai penyiasat yang cuai dan tidak beretika tidak dipecat.

Beliau justeru mencadangkan agar kerajaan menggubal undang-undang berkaitan bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

“Oleh yang demikian, wajar dan perlu penyiasatan jenayah yang dibuat secara sambil lewa dan cincai serta membawa kepada pendakwaan salah, mesti dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Ini bagi mengelak pendakwaan yang dibuat secara mala fide, selain mempertingkat kualiti siasatan jenayah di negara kita,” katanya. – Roketkini.com