Berita

Kenyataan angkuh kerajaan BN amat mengecewakan

BUKIT MERTAJAM, 29 SEPT: Kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah semalam bahawa tiada sebab rakyat Malaysia miskin amat mengecewakan rakyat negara ini.

Dengan bebanan peningkatan kos sara hidup akibat ketirisan pengurusan dana negara serta cukai GST, kenyataan itu kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim amat tidak bertanggungjawab dan menjijikkan.

Ini katanya bukanlah kali pertama kerajaan mengeluarkan kenyataan angkuh.

Pada Mac 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa berucap dalam Parlimen dilaporkan media berkata, kos sara hidup yang tinggi bukan disebabkan oleh dasar kerajaan tetapi kerana taraf pendidikan rakyat yang rendah justeru tidak mampu mencapai gaji tinggi

“Kenyataan sebegini jelas menunjukkan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional pada hari ini yang sudah tidak lagi memperdulikan keperitan hidup rakyat, terutamanya anak muda yang menjadi tonggak masa depan negara.

“Anak muda kita hidup dalam keadaan susah akibat kos sara hidup yang tinggi, pasaran kerja yang tidak bermaya dan masalah hutang keliling pinggang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sejak GST dilaksanakan pada April 2015, harga barang semakin meningkat. Ia diikuti kenaikan dua kali ganda kadar inflasi sebanyak 2.1% pada April 2016, dan 4.4% pada April 2017.  

Selain itu, keadaan bertambah gawat apabila wujudnya pasaran kerja yang lemah di mana kadar pengangguran telah meningkat tiga kali ganda mencecah 10.7% pada tahun 2015 lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional iaitu 3.1 peratus.

“Laporan tersebut juga menyatakan bahawa daripada 468,000 orang penganggur di Malaysia pada tahun 2015, 60% merupakan anak muda berumur antara 20 hingga 29 tahun.

“Pada hari ini, ijazah universiti juga tidak menjamin masa depan anak muda kita. Laporan Bank Negara yang sama menyatakan bahawa pada tahun 2015, terdapat seramai 65, 610 orang siswazah yang gagal mendapat kerja enam (6) bulan selepas tamat pengajian mereka!” katanya.

Dalam keadaan itu, majoriti mahasiswa pula sudah mempunyai hutang pendidikan berpuluh-puluh ribu ringgit sebaik sahaja keluar dari universiti.

“Dalam keadaan bergaji rendah dan tidak mendapat pekerjaan, sudah tentu hutang mereka akan menjadi beban yang amat besar,”

“Adakah semua ini petunjuk bahawa ekonomi kita baik dan rakyat tidak miskin? Adakah kemiskinan dan kesusahan rakyat disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri?

“Jika pengurus kewangan tertinggi negara kita boleh membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab seperti itu, maka tidak hairanlah “ada sebabnya orang Malaysia miskin”,” katanya lagi. – Roketkini.com