Berita

Ketepi perbezaan pandangan demi selamatkan negara

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Walaupun berbeza pandangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tidak pernah sesekali pun menggunakan gelaran kurang elok bagi mengambarkan sosok Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat itu.

Malah, meskipun beliau dan anaknya, Lim Guan Eng dihumban ke dalam penjara sewaktu Operasi Lalang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 30 tahun lepas, beliau tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap Mahathir.

“Umum mengetahui bahawa saya dan Mahathir mempunyai banyak perbezaan pandangan ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Saya dan Guan Eng pernah menjadi “tetamu Kerajaannya Yang Maha Mulia” sewaktu pemerintahannya dalam Operasi Lalang hampir 30 tahun dulu.

“Namun, saya tidak menyimpan dendam – saya tidak memanggil Mahathir dengan gelaran ‘mahafiraun’ atau ‘mahazalim’ – oleh kerana perbezaan kami lebih melibatkan tindakan dan dasar kerajaan (ketika itu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengakui bahawa terdapat jurang perbezaan yang ketara dengan Mahathir pada masa lalu, beliau berkata, ia kini diketepikan demi agenda yang lebih besar iaitu menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi, kegagalan dan gelaran negara penyangak.

“Hanya dengan perubahan tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi global.

“Ini kerana UMNO-Barisan Nasional di bawah pemerintah Datuk Seri Najib Razak tidak membuat apa-apa langsung untuk membersihkan nama Malaysia yang tercalar dengan gelaran kleptokrasi global itu,” ujarnya. – Roketkini.com