Berita

DAP bukan parti cauvinis tapi parti pelbagai kaum  – Tun Dr Mahathir

JOHOR BHARU, 1 OKT: Meskipun Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memulakan kempen melabel DAP sebagai sebuah parti cauvinis ketika di dalam UMNO, kini, setelah mengenali parti itu, beliau mengakui bahawa dakwaannya sebelum ini tidak benar.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, faktanya, DAP bukanlah “parti chauvinis Cina” malah memiliki keanggotaan dari masyarakat berbilang kaum tidak seperti MCA.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 3,000 hadirin dalam majlis Pelancaran Pakatan Harapan Johor Sabtu lalu.

“Saya yang mulakan label DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Menurutnya beliau mengenali DAP secara lebih dekat selepas pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Mereka (DAP) mempunyai (keanggotaan) orang Melayu dan juga India,” katanya menyatakan DAP juga diwakili beberapa wakil rakyat Melayu.

“Kerana dalam DAP ada berbilang kaum dan dalam mesyuarat mereka, mereka terpaksa guna bahasa kebangsaan.

“Jadi DAP tidak begitu buruk sehingga kita tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya lagi.

Antara pemimpin utama hadir dalam pelancaran HARAPAN Johor ialah Timbalan Presiden HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Parlimen DAP,Lim Kit Siang dan ramai lagi. – Roketkini.com